Lapangan Terbang Incheon Ditutup Sementara Ekoran Belon Sampah Dari Korea Utara

Anggota tentera Korea Selatan memeriksa pelbagai objek seperti sampah daripada belon udara yang dipercayai dihantar oleh Korea Utara di Incheon. Foto Reuters

SEOUL, 26 Jun – Kawasan berlepas dan mendarat Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan tergendala selama kira-kira tiga jam berikutan Korea Utara menghantar beberapa belon udara dipenuhi sampah, kata jurucakap lapangan terbang.

Beliau berkata, satu daripada belon udara itu mendarat di landasan berhampiran Terminal 2 penumpang dengan tiga landasan di Incheon ditutup buat sementara waktu.

Korea Utara menerbangkan belon udara berisi sampah ke Korea Selatan sejak hujung Mei lalu dengan ratusan daripadanya mendarat di Korea Selatan.

Menurut jurucakap itu, beberapa belon udara dikesan di dalam dan sekitar sempadan lapangan terbang.

“Insiden ini bukan pertama kali berlaku di lapangan terbang terbabit yang terletak sekitar 40 kilometer dari sempadan Korea Utara, sebaliknya operasi lapangan terbang pernah mengalami gangguan disebabkan kehadiran belon udara di kawasan berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, berkata gangguan kepada penerbangan domestik dan antarabangsa berlaku sekitar jam 1.46 dan 4.44 pagi waktu tempatan, sebelum landasan itu dibuka semula.

Dua penerbangan dari China dilencongkan dari Incheon susulan belon sampah dari Korea Utara jatuh di landasan. Foto FlightRadar24

Jumlah penerbangan pada waktu berkenaan kebiasaannya sedikit.

FlightRadar24 menunjukkan, ketika operasi tergendala, lapan penerbangan kargo dan penumpang dilencongkan ke Lapangan Terbang Cheongju atau di Lapangan Terbang Jeju, Korea Selatan, manakala satu pesawat pengangkut China dari Shanghai dilencongkan ke Yantai, China.

Beberapa lagi pendaratan dan pelepasan turut ditangguhkan selama beberapa jam.

Korea Utara sebelum ini dilaporkan berkata, penghantaran belon udara itu sebagai tindak balas terhadap kempen propaganda oleh pembelot dan aktivisnya di Korea Selatan yang kerap menerbangkan belon berisi makanan, ubat, wang dan risalah yang mengkritik pemimpin mereka.

Menurut Korea Selatan, antara barangan yang diisi dalam belon udara Korea Utara ialah artikel yang dicetak dengan aksara Hello Kitty, pakaian lusuh, selain tanah yang ada kesan najis manusia dan parasit.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *