LaLiga: Tewas Mengejut, Alonso Gesa Real Segera Bangkit

Kekalahan memalukan 2-5 di tangan Atletico Madrid membuatkan bos Real Madrid, Xabi Alonso menggesa anak-anak buahnya segera bangkit dalam saingan LaLiga pada 27 September 2025. Foto Reuters

MADRID, 28 Sep – Pengendali Real Madrid, Xabi Alonso mahu pasukannya segera belajar daripada kekalahan memalukan 2-5 di tangan Atletico Madrid, malam tadi – satu keputusan yang disifatkannya sebagai memeritkan namun layak diterima.

Ia kekalahan pertama Real dalam saingan La Liga musim ini, malah kali pertama dalam tempoh 75 tahun Atletico meledak lima gol menentang seteru tetangga mereka.

Alonso mengakui skuadnya gagal mencapai standard sebenar ketika berdepan musuh tradisi itu.

“Kami bermula dengan lemah dan ini berlarutan. Kami perlu ambil pengajaran kerana ini berterusan. Ia kekalahan yang layak, kami kekurangan intensiti. Kekalahan yang menyakitkan, ya,” katanya.

Pemain Real Madrid, Jude Bellingham (tengah) dan Aurelien Tchouameni (kanan) kelihatan kecewa selepas penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez menyumbat gol keempat mereka menerusi sepakan percuma pada aksi La Liga di Riyadh Air Metropolitano, Madrid pada 27 September 2025. Foto Reuters

Bagaimanapun Alonso percaya keputusan mengaibkan itu boleh membawa hikmah pada masa depan.

“Mungkin ia baik untuk masa depan. Kami kalah dalam perebutan bola, dalam hantaran ke ruang. Kami terlalu longlai, permainan tidak lancar. Secara keseluruhan, perlawanan yang buruk, kekalahan yang wajar,” jelasnya.

“Penjelasannya mudah, kami tidak beraksi pada tahap sebenar. Ia memang menyakitkan, tetapi rasa sakit itu mesti dijadikan sebagai dorongan positif.

“Kami kurang fokus dan intensiti. Kami ada perancangan tetapi perlu menilai semula. Kami tidak cukup berdaya saing untuk aksi besar menentang lawan sebegini. Kami perlu tingkatkan lagi tahap permainan,” tegas Alonso.

Ditanya apa yang paling mengecewakannya, Alonso menjawab: “Saya nampak kami tidak bermain di tahap terbaik, kurang rentak dan intensiti.”

Alonso yang mengambil alih Real sejak Mei lalu selepas Carlo Ancelotti membimbing skuad Brazil, turut berpesan kepada penyokong supaya terus bersabar.

“Dalam proses pembangunan, pasti ada hari-hari sukar. Apa yang penting adalah bagaimana kami bangkit. Kami masih dalam fasa pembangunan,” katanya.

Keputusan itu tetap menyaksikan Real menghuni tangga teratas La Liga dengan 18 mata, dua mata mengatasi Barcelona yang beraksi kurang satu perlawanan.

Atletico pula melonjak ke tangga keempat dengan 12 mata selepas kemenangan bersejarah itu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *