Kunjungan Menteri Bukan Tabur Gula-Gula Pilihan Raya – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) ketika beramah mesra dengan Penggerak Komuniti MADANI Program Sembang Santai Komuniti MADANI di Sungai Bakap hari ini. Foto X Fahmi Fadzil

NIBONG TEBAL, 6 Jun – Kunjungan menteri ke lapangan khususnya di kawasan Sungai Bakap di sini, bukan bertujuan menabur ‘gula-gula’ bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bakal berlangsung di kawasan itu nanti.

Sebaliknya, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, tindakan pimpinan kerajaan yang turun padang ke kawasan dan bertemu dengan rakyat sejajar dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melihat dengan lebih dekat segala permasalahan yang timbul selain berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Dakwaan (menteri turun kawasan PRK) tabur ‘gula-gula’ ini tak betul.

“Saya berada di sini kerana ada kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak petang nanti untuk menyampaikan jemputan untuk istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Sembang Santai Komuniti MADANI Sungai Bakap di sini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) ketika berucap pada Program Sembang Santai Komuniti MADANI di Sungai Bakap hari ini. Foto X Fahmi Fadzil

Mengulas lanjut Fahmi berkata, beliau juga menggunakan kesempatan sama untuk mendengar keluhan masyarakat berhubung isu air yang membelenggu penduduk di sekitar daerah Seberang Perai Selatan.

Fahmi berkata, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini juga telah hadir bagi meneliti isu tersebut dan beliau nak tegaskan di sini bahawa kerajaan akan terus berkhidmat tanpa mengira tempat.

Media pada 4 Jun lalu melaporkan, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan pelbagai usaha dan perancangan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah-langkah mitigasi yang telah dilaksana serta akan dijalankan mampu menyelesaikan isu itu secara jangka pendek dan panjang dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada penduduk terjejas.

  • Oleh Mohd Iskandar Othman


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *