Kunjungan Hormat Setiausaha Negara AS Ke Atas PM Anwar Jadi Tumpuan Hari Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio di Kuala Lumpur pada 10 Julai 2025.

KUALA LUMPUR, 10 Jul – Tumpuan negara hari ini terarah kepada kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 yang dijadualkan berlangsung petang ini.

Antara topik perbincangan yang bakal berlangsung sudah pastinya isu tarif yang dikenakan pentadbiran Presiden AS Donald Trump ke atas Malaysia sebanyak 25 peratus selain ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemimpin sejak Anwar menjawat jawatan pada November 2022.

Selain itu, antara perkara yang bakal diperhalusi termasuklah isu-isu keselamatan maritim di Laut China Selatan, memperkukuh komitmen AS dalam memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan selamat dan juga konflik berlarutan di Gaza yang sudah pastinya bakal disuarakan Anwar pada pertemuan itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang jam 7.39 pagi 10 Julai 2025. Foto Reuters

Manakala Rubio yang merupakan pegawai ketiga tertinggi dalam pentadbiran eksekutif AS hadir selaku pegawai tertinggi negara itu sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula sejak 8 Julai lalu.

Ketibaan diplomat tertinggi AS itu yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang jam 7.39 pagi tadi juga merupakan lawatan sulung beliau ke Asia sejak memegang jawatan itu awal tahun ini.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Rubio turut dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia semasa lawatan itu.

Rubio yang berlepas dari Washington pada Selasa dijadual turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov dan Menteri Luar China, Wang Yi jam 6 petang ini di mana kesemua mereka kini berada di ibu negara.

Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang jam 8.27 pagi 10 Julai 2025.

Para pengamal media dari seluruh dunia kini menantikan pertemuan berprofil tinggi antara Anwar dan Rubio serta pertemuan antara Rubio, Lavrov dan Wang Yi hari ini.

Terdahulu, Anwar mengesahkan akan menerima kunjungan hormat Rubio selepas menyampaikan ucapan perasmian AMM pada 9 Julai.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *