Kualiti Udara Di Sarawak Makin Merosot, 5 Kawasan Rekod IPU Tidak Sihat

Pergerakan angin dari Kalimantan yang kini mengalami cuaca kering menyebabkan kebakaran dan asap jerebu merentas sempadan pada 8 Ogos 2026.
PUTRAJAYA, 8 Ogos – Kualiti udara dalam negara merosot dengan lima kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata lima kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah IPD Serian (171), Kuching (154), Samarahan (154), Sri Aman (139) dan Bintulu (124).
“Tiga kawasan mencatatkan status kualiti udara baik manakala 60 kawasan berada pada tahap sederhana.

“Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, terutama di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azuri Azizah berkata peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) semalam menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan hari ini, kecuali hujan terpencil di bahagian utara Sumatera dan Semenanjung, yang dikesan menerusi imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan 20.
Beliau berkata laporan ASMC yang berpusat di Singapura menunjukkan terdapat 643 titik panas dikesan di Kalimantan, 17di Sumatera dan 25 di dalam negara, iaitu 22 di Sarawak, dua di Selangor dan satu di Terengganu.
“Titik panas dikesan secara meluas di Kalimantan Barat manakala titik panas terpencil hingga berselerak dikesan di kawasan lain di Kalimantan.
“Beberapa titik panas turut dikesan, terutama di beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, bahagian selatan dan tengah Sumatera serta bahagian timur Pulau Jawa,” katanya.
Azuri Azizah berkata kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
Selain itu, katanya, kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan di kawasan lain di Kalimantan dan bahagian tengah Sarawak manakala kepulan asap ringan hingga sederhana diperhatikan di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta bahagian timur Pulau Jawa.
Beliau berkata JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


