Krisis Tenaga Global: Macam-Macam Cara Cari Jalan Keluar ‘Selamat’

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berjanji akan menyelesaikan isu kekurangan bekalan bahan api negaranya apabila terbang ke Singapura minggu ini.

PENDAPAT, 8 Apr – Krisis tenaga global bukan setakat menyaksikan hampir setiap negara menyelaras semula jumlah penggunaan bahan api, menyusun semula subsidi atau menghadkan penjualan, tetapi negara yang selama ini dianggap ‘musuh’ pun terpaksa menjadi ‘kawan’.

Ada juga yang dahulu terlalu bergantung kepada satu sumber bahan api tetapi sekarang sudah mula meneroka sumber alternatif yang lebih terjamin tanpa perlu berharap krisis berakhir kerana negara tetap memerlukan ekonomi bergerak dan produktif.

Ia juga tidak terkecuali kepada sebuah negara besar yang juga ‘sekutu’ Amerika Syarikat (AS) iaitu Australia yang enggan menjadi ‘pak turut’ menambah luka perang di Iran.

Menurut Perdana Menteri, Anthony Albanese dijadual berlepas ke Singapura bagi memperkukuh bekalan petroleum ketika harga minyak melonjak susulan krisis perang berlarutan di Asia Barat.

Australia bergantung kepada import bagi kira-kira 90 peratus produk petroleum diproses, dengan Singapura kekal sebagai pembekal terbesar yang paling dekat dan stabil dari segi politik dan ketersediaan bekalan.

Ironinya, Albanese yang menolak permintaan gila Trump untuk menyerang Iran seperti mana Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU), tidak pula meminta Trump menyelesaikan isu bekalan bahan api negaranya.

Albanese berkata, lawatan rasmi dari 9 hingga 11 April itu akan memberi tumpuan kepada perdagangan bekalan penting, termasuk diesel dan gas asli cecair (LNG), bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.

Beliau turut menyatakan kedua-dua negara berkongsi kebimbangan terhadap situasi di Asia Barat dan implikasinya terhadap keselamatan tenaga.

“Australia berdepan dunia yang semakin tidak menentu, justeru hubungan erat seperti ini amat penting,” katanya kepada media.

Australia dan Singapura dalam kenyataan bersama bulan lalu komited memastikan bekalan bahan api terus mengalir antara kedua-dua negara serta bekerjasama memperkukuh daya tahan rantaian bekalan tenaga.

Kerajaan Australia memaklumkan, gangguan bekalan diesel dan petrol tanpa plumbum di stesen minyak semakin berkurangan.

Sebanyak 241 stesen minyak di seluruh negara, atau kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan, dilaporkan kehabisan diesel pada Selasa, manakala 141 lagi kehabisan petrol.

Menteri Tenaga, Chris Bowen berkata, Australia mempunyai bekalan diesel untuk 29 hari, petrol 39 hari dan bahan api jet selama 30 hari, sambil menegaskan tahap itu kekal “agak stabil”.

Minggu lalu, kerajaan turut mengurangkan separuh cukai bahan api petrol selama tiga bulan bagi membantu mengurangkan beban kos yang meningkat terhadap pemandu dan pengangkutan.

Dalam perebutan jaminan bekalan tenaga kini, langkah kreatif ‘di luar kotak’ mesti diperhalusi segera bagi mengelak kekeringan berpanjangan sementara Trump terus ‘berhalusinasi’ dengan tambahan 10 hari ‘penangguhan’ serangan ke atas Iran.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *