Krisis Tenaga Global Antara Agenda Utama PM Anwar-PM Albanese

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, tiba bagi lawatan rasmi ke Malaysia di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 15 April 2026. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 15 Apr – Pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, antara lain bakal membincangkan isu krisis tenaga global ketika ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata lawatan tiga hari itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, lawatan rasmi itu juga akan menyaksikan beberapa perjanjian persefahaman antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, tiba bagi lawatan rasmi ke Malaysia di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 15 April 2026. Foto Bernama

“Jemaah Menteri pada hari ini juga dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Australia akan melakukan lawatan rasmi yang akan bermula pada pagi esok, 16 April dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala serta bakal menyaksikan beberapa perjanjian persefahaman ditandatangani.

“Perbincangan antara kedua-dua pemimpin Malaysia dan Australia antara lain akan berkisar berhubung krisis tenaga global yang dihadapi seluruh dunia pada ketika ini,” katanya pada Sidang Media Mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, perincian mengenai pertemuan kedua-dua pemimpoin tertinggi negara itu akan diketahui esok.

Sementara itu, pesawat khas yang dinaiki Albanese dan delegasinya mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini pada jam 5.15 petang tadi dan disambut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Perdana Menteri Australia itu kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) yang diketuai Kapten Muhamad Thabrani Mohamad Sharudin.

Albanese akan diberikan sambutan rasmi di Putrajaya esok, diikuti pertemuan empat mata dengan Anwar serta pertemuan dua hala yang membabitkan menteri kanan dan pegawai dari kedua-dua negara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *