Krisis Politik Perlis Bukti PN Tak Layak Tadbir Negara

Abul Jais menegaskan bahawa tadbir urus yang baik memerlukan kestabilan politik, kesepakatan dalam kepimpinan dan keutamaan kepada kepentingan rakyat.

PENDAPAT, 25 Dis – Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba seluruh negara dikejutkan dengan krisis politik di Perlis yang hanya mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) biarpun sebelum ini wujud cubaan menjatuhkan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar sejak lebih setahun lalu.

Sebenarnya krisis yang memalukan Perikatan Nasional (PN) di negeri di utara tanah air ini menjadi bukti jelas bahawa gabungan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu bukan sahaja gagal mentadbir sebuah negeri kecil, malah tidak layak diberikan mandat untuk mentadbir negara.

Negeri yang sepatutnya stabil dan mudah diurus dengan 14 ADUN dan hanya seorang pembangkang (DUN Indera Kayangan) kini terjerumus dalam kemelut dalaman tanpa serangan Kerajaan Perpaduan, semuanya akibat perebutan kuasa, kegagalan kepimpinan di bawah Mohd Shukri serta ketidaksepakatan dalam kalangan pemimpin PN sendiri.

Tiga Adun Pas Perlis diberhentikan keahlian kerana didakwa menyokong komplot menjatuhkan Menteri Besar yang juga besan kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Hanya susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli, yang kononnya sekali gus disifatkan boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri menjadi ‘sebab’ ketiga-tiga ADUN berkenaan dipecat.

Ia dilihat semakin parah setelah banjir besar melanda bulan lalu menyebabkan para peniaga dan rakyat mengeluh bantuan daripada kerajaan negeri seakan tidak ada dan terpaksa bergantung kepada agensi kerajaan pusat seperti NADMA.

Umum mengetahui pentdbiran Perlis di bawah PN sudah sedia pincang apabila isu pelantikan jawatan politik, perebutan sesama sendiri dan mengabaikan aspek kebajikan rakyat cuba disorokkan selama ini tetapi malangnya krisis sebenar mula tercetus apabila dengan tak semena-mena Mohd Shukri dimasukkan ke hospital sebaik pulang dari luar negara.

Kedudukan Mohd Shukri masih belum selamat biarpun tiga Adun Perlis daripada Pas dipecat bermula 24 Disember 2025.

Kemuncaknya ialah apabila Pas pusat membuat kejutan malam tadi di saat rakyat sedang bercuti pada malam menyambut Krismas, bertindak memecat tiga ADUN sendiri yang didakwa ‘berkomplot’ untuk menjatuhkan Mohd Shukri bersama-sama lima ADUN Bersatu yang tidak sehaluan dengan ADUN Sanglang itu.

Malah keputusan Speaker DUN Perlis mengisytiharkan ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan kosong secara jelas menambahkan lagi bukti bahawa krisis politik dalaman PN sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran pentadbiran, malah mencemar imej institusi kerajaan negeri selain menjadikan rakyat Perlis ‘bahan sindirian’ negeri lain yang ketawa melihat betapa teruknya parti-parti PN bergaduh sesama sendiri.

Kemelut politik di Perlis dicetuskan daripada perbalahan dalaman menjadikan bukti Perikatan Nasional (PN) tidak layak mentadbir negeri jauh sekali mentadbir negara.

Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat negeri itu apabila tumpuan pemimpin lebih kepada politik dalaman berbanding usaha menyelesaikan masalah kos sara hidup, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

Lebih membimbangkan, krisis ini memperlihatkan PN gagal mengurus perbezaan pandangan secara matang dan berhemah. Ketiadaan kepimpinan yang tegas serta hala tuju yang jelas membuktikan gabungan ini rapuh dan bergantung kepada kepentingan individu, bukannya prinsip tadbir urus yang baik.

Jika sebuah negeri kecil seperti Perlis pun tidak mampu ditadbir dengan berkesan, bagaimana PN boleh diyakini untuk mengurus sebuah negara yang jauh lebih kompleks?

Pemberhentian tiga Adun Pas menunjukkan mereka langsung tidak layak mentadbir negeri malah jauh sekali layak mentadbir negara.

Pengalaman di Perlis seharusnya menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia. Tadbir urus yang baik memerlukan kestabilan politik, kesepakatan dalam kepimpinan dan keutamaan kepada kepentingan rakyat.

Krisis politik Perlis membuktikan PN gagal memenuhi semua kriteria ini. Justeru, jelaslah bahawa PN bukan sahaja gagal di peringkat negeri, malah tidak mempunyai kelayakan moral dan keupayaan sebenar untuk mentadbir negara.

Apakah kemelut PN di Perlis menjadi ‘batu nesan’ kepada kegagalan mereka menghadapi PRU16 dalam tempoh dua tahun lagi?

– Abul Jais Ashfaq Ahmed merupakan penganalisis politik isu semasa

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *