KPDN Akan Tambah Baik Sistem ECOSS – Fuziah

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) akan ditambah baik untuk memastikan rantaian pembekalan minyak masak sampai ke peringkat pengguna, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, ketika ini sistem berkenaan terhenti di peringkat runcit.

“Sistem ECOSS memantau rekod transaksi jualan minyak masak paket secara digital dari kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit.

“Bagaimanapun, kementerian setakat ini tidak dapat mengukur berapa golongan isi rumah yang menerima agihan dan berapa banyak yang dibeli oleh peniaga mikro. Ini kerana, sistem itu terhenti di peringkat peruncit.

Oleh itu, kita akan tambah baik,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat. Foto Bernama

Fuziah menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai jumlah minyak masak paket bersubsidi dikeluarkan oleh kementerian pada setiap bulan dan berapa daripada jumlah itu diagihkan kepada golongan isi rumah B40 dan peniaga mikro.

Fuziah berkata, ketika ini sistem subsidi pukal yang diguna pakai adalah sistem yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan hari ini sependapat bahawa terdapat keperluan penyasaran subsidi bagi mengelakkan ketirisan.

“Kementerian lihat mereka yang wajar menerima subsidi ini adalah golongan B40 dan sebahagian daripada M40, iaitu anggaran sebanyak 5.8 juta isi rumah.

“Namun, arah ke hadapan minyak masak bersubsidi akan disasarkan juga kepada peniaga mikro. Pada masa sama, saya setuju ketika ini ada ketirisan dan pemindahan tunai adalah salah satu cara terbaik untuk menyasarkan subsidi minyak masak, namun mekanisme belum kita tuntaskan, tapi itulah arah dan tujunya,” katanya.

Sebelum ini, Fuziah dilaporkan berkata, ECOSS yang kini sedang dinaik taraf oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Katanya, antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah meningkatkan kebolehan sistem itu untuk mengawal minyak masak subsidi di peringkat peruncitan supaya jualan hanya dibenarkan kepada kumpulan sasar melalui dokumen pengenalan diri.

Kerajaan Tidak Gagal Isu Lantikan Menteri – Fuziah ‘Sekolahkan’ Samsuri

“Melalui sistem ECOSS ini juga, KPDN dapat meningkatkan pemantauan bekalan minyak masak paket bersubsidi dengan merekodkan transaksi minyak masak di pelbagai peringkat termasuk kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit ke dalam satu pangkalan pusat,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *