KP Perisikan Pertahanan Tak Mengaku Terima Suapan AS$20,000, RM64,000 Beli Tiket Penerbangan Untuk Isteri

Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias yang disiasat berkaitan kes rasuah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, untuk hadapi pertuduhan pada 29 Januari 2026.

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga tuduhan menerima suapan wang AS$20,000 dan RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya, dua tahun lalu.

Mohd Razali, 60, yang tiba di mahkamah pada jam 8.35 pagi dengan memakai sut lengkap berwarna hijau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas ketiga-tiga tuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.

Mohd Razali didakwa dengan tuduhan pertama, iaitu secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah AS$20,000 daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, 45, di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak di sini, antara Ogos dan November 2024.

Wang itu sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO Angkatan Tentera Malaysia (ATM), meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk tujuan pembayaran bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Terdahulu Razali diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki lobi mahkamah jam 8.34 pagi sebelum dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah.

Pada 22 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk akan didakwa atas pertuduhan rasuah, minggu ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *