Korban Tanah Runtuh Di Papua New Guinea Terus Meningkat

View of the damage after a landslide in Maip Mulitaka, Enga province, Papua New Guinea May 24, 2024 in this obtained image. Emmanuel Eralia via Reuters

PORT MORESBY, 25 Mei – Laporan terbaharu yang diterima menyebut lebih 320 penduduk dan lebih 1,100 rumah tertimbus akibat tanah runtuh yang ‘menenggelamkan’ enam kampung terpencil di utara Papua New Guinea, lapor media tempatan pada Sabtu.

Dalam tragedi kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan, semalam di Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer (km) ke barat laut ibu negara, Port Moresby, ratusan orang lagi dikhuatiri terkorban.

Laporan Papua New Guinea Post Courier, yang merujuk kepada komen seorang ahli Parlimen negara itu, Aimos Akem, melaporkan tanah runtuh di negara Pasifik Utara Australia itu menimbuskan lebih daripada 300 orang dan 1,182 rumah.

Penduduk tempatan turut menyertai usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Maip Mulitaka, Wilayah Enga, Papua New Guinea. Foto Reuters

Namun, Akem, tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk komen melalui media sosial.

Menurut Jabatan Urusan Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT), lebih daripada enam kampung terjejas oleh tanah runtuh di kawasan Mulitaka wilayah itu.

“Kedutaan Besar Australia di Port Moresby sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa PNG untuk penilaian lanjut mengenai tahap kerosakan dan korban,” kata seorang jurucakap DFAT dalam satu kenyataan.

View of the damage after a landslide in Maip Mulitaka, Enga province, Papua New Guinea May 24, 2024 in this obtained image. Emmanuel Eralia via Reuters

Stesen Penyiaran Australia ABC, hari ini, melaporkan bahawa empat lagi mayat ditemui dari kawasan itu selepas pasukan kecemasan tiba dan jumlah kematian dijangka meningkat.

Menurut stesen penyiaran itu, tanah runtuh juga menghalang akses ke lebuh raya, menjadikan helikopter satu-satunya cara untuk sampai ke kawasan terbabit.

Rakaman media sosial yang dimuat naik oleh penduduk, Ninga Role, menunjukkan orang ramai turut membantu mencari mangsa dengan memanjat atas timbunan batu dan pokok yang tumbang.

Perdana Menteri, James Marape, berkata pegawai bencana, Angkatan Pertahanan serta Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya sudah dikerahkan bagi membantu operasi. – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *