Konvensyen PH Langsung Tak Tergugat Dengan ‘Pengumuman’ Rafizi

Tumpuan seluruh negara terarah kepada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Persada Johor International Convention Centre pada 17 Mei 2026 tanpa langsung tergugat dengan ‘pengumuman’ Rafizi dan Nik Nazmi. Foto Janaan AI
PENDAPAT, 15 Mei – Ahad ini, atau lebih tepatnya 17 Mei 2026, perhatian seluruh negara akan tertumpu kepada penganjuran Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang bakal berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.
Bukan sekadar menjadi platform menghimpunkan pimpinan tertinggi gabungan terbesar dalam Kerajaan Perpaduan, malah membawa simbolik lebih besar terhadap persiapan menghadapi lanskap politik serba mencabar.
Dijangkakan ribuan penyokong, jentera akar umbi dan penggerak parti yang hadir dari segenap pelusuk negara jelas memberi isyarat awal bahawa PH sedang memperkukuh saf dan menyusun gerak kerja menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Latar konvensyen tersebut dijangka menjadi medan penting bagi memperlihatkan kesepaduan parti-parti komponen iaitu KEADILAN, DAP dan AMANAH dalam mendukung agenda Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam suasana politik yang semakin kompleks, PH dilihat mahu membuktikan bahawa gabungan itu masih memiliki kekuatan akar umbi serta keyakinan rakyat untuk terus memimpin negara sebagai teraju utama bagi penggal kedua.
Lebih menarik, konvensyen ini juga dianggap sebagai “semboyan pertama” kepada jentera pilihan raya PH menjelang deretan siri pilihan raya dalam tempoh berbaki kira-kira setahun lagi.
Kedudukan strategik PH dengan hala tuju jelas wajar dimanfaatkan semaksimum mungkin menyampaikan dasar kerajaan dan pencapaian semasa (termasuk agenda reformasi PH), di samping menjadi ruang menyuntik semangat serta menyatukan naratif politik dalam kalangan penyokong.

Pemilihan Johor sebagai lokasi konvensyen menyerlahkan sisi signifikan tersendiri memandangkan negeri itu sering dianggap medan strategik dalam percaturan politik nasional sejak PH merobek satu persatu setiap kerusi parlimen sejak 2013.
Tidak dinafikan, seolahnya mana-mana parti yang dapat menguasai Johor, terutamanya 26 kerusi parlimen yang menjadi rebutan, akan menguasai Malaysia dalam konteks politik nasional sejak PRU14.
Kehadiran besar penyokong sejak kali terakhir diadakan pada 2023 ini dijangka memberi gambaran bahawa PH kekal mempunyai pengaruh kuat dan mampu menggerakkan momentum politik secara tersusun dan menyeluruh ke segenap pelusuk negara.

Deretan inisiatif dan ikhtiar sejak November 2022 hingga kini, dianggarkan sekitar 180 agenda termasuk Jualan Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan BUDI95 menjadi bukti keberkesanan program Kerajaan MADANI walaupun tidak diwar-warkan atau mendapat kerjasama baik daripada beberapa kerajaan negeri.
Medan sebesar inilah segala usaha berkenaan mesti diperkuatkan suaranya ke seluruh negara tanpa memikirkan sangat ‘titik bengik’ atau ‘nyet nyet nyet nyet nyet’ segelintir mereka yang kecewa di luar sana.
Namun tanpa disangka (atau mungkin dirancang secara sengaja), satu lagi ‘pengumuman’ pada tarikh sama bakal dibuat dua bekas menteri dari KEADILAN kononnya untuk ‘mengumumkan’ hala tuju politik mereka menjelang PRU16.

Digembar-gemburkan ‘pengumuman’ berkenaan kononnya mahu menyuburkan ‘aliran politik progresif’ seolah-olah agenda reformasi yang diperjuangkan PH tidak lagi ‘cocok’ dengan mereka walaupun menyedari hakikat PH terpaksa berkongsi kuasa dengan Barisan Nasional (BN) dan GRS serta GPS selepas PRU15.
Tidak kira apa jenis hala tuju yang diinginkan, hakikat bahawa sekuat Azmin Ali pun tidak mampu merobek Anwar walaupun ‘berjaya’ mengkhianati mandat rakyat pada 2020, kita masih berharap perkara sama tidak akan berulang terhadap Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad, atau ahli parlimen yang condong kepada mereka.
Berbeza sedikit dengan Langkah Sheraton yang digerakkan parti penunggang agama, apa saja ‘hala tuju politik’ mereka tidak lain tidak bukan hanyalah sekadar mahu ‘mengalih perhatian’ seluruh negara termasuk parti politik pembangkang daripada menumpukan ucapan dasar dan hala tuju sebenar negara terutama daripada Anwar, Anthony Loke dan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sedar atau tidak juga, lokasi ini juga ‘menguburkan’ karier politik Rafizi dan Nik Nazmi yang tewas dalam perebutan jawatan masing-masing dalam Pemilihan KEADILAN, 23 Mei tahun lalu.
Kita berharap Konvensyen PH kali ini membawa makna lebih besar daripada sekadar medan bertemu rakan lama mahupun baharu ‘bergosip’ tentang siapa yang akan menjadi calon, kerusi mana yang sedang dirunding atau bertukar ‘maklumat’ semasa parti-parti pembangkang.
Malah, konvensyen ini sepatutnya memperkukuh keyakinan rakyat, menyatukan jentera politik serta memberi petunjuk awal bahawa PH sedang bersedia secara serius menghadapi PRN dan PRU16 dengan lebih tersusun, yakin dan agresif.

’Pengumuman’ Rafizi? Biarkan saja berlalu di angin lalu!
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

