Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak Platform Suntik Semangat Anggota KEADILAN – Abu Jais

Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed berpandangan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menyuntik semangat perjuangan anggota KEADILAN di negeri ini. Foto Arkib
IPOH, 27 Jan – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang akan diadakan di sini esok bakal menyuntik semangat perjuangan anggota KEADILAN di negeri ini.
Anwar dijangka hadir atas kapasiti sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) serta Ahli Parlimen Tambun yang kini mengetuai Kerajaan Perpaduan peringkat Pusat.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed, konvensyen berkenaan adalah sebagai manifestasi gabungan parti yang membentuk kerajaan kekal fokus untuk menyelesaikan isu-isu rakyat selepas lebih setahun berkerjasama.
“Saya berpendapat kehadiran Perdana Menteri ke Perak yang menjadi negeri pertama mengadakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan tahun ini akan memberi suntikan semangat kepada pendokong kerajaan di negeri ini.

”Saya mengalu-alukan penglibatan seluruh anggota KEADILAN bersama-sama menyahut amanat Perdana Menteri yang akan disampaikan esok bagi kesejahteraan rakyat.
”Saya mewakili kepimpinan KEADILAN di Perak mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan parti dari 24 cabang seluruh negeri menyambut kehadiran pemimpin nombor satu negara dan presiden parti esok,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewangan merasmikan konvensyen yang dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) Perak.
Konvensyen Perpaduan Perak itu akan diadakan di Hotel Casuarina, Ipoh yang bakal dihadiri oleh ramai pemimpin kanan PH dan Barisan Nasional (BN).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
