Konsesi Lebuh Raya Di KL Boleh Dirunding Bila Kewangan Negara Kukuh – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA SELANGOR, 25 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata konsesi lebuh raya yang akan turut membabitkan isu tol di Kuala Lumpur boleh dirunding semula apabila kewangan negara lebih kukuh.

Beliau mengakui bersetuju dengan pandangan mengenai terlalu banyak plaza tol di sekitar ibu negara, namun pemansuhan tol tidak dapat dilakukan kerana kerajaan terikat dengan perjanjian.

Mengulas lanjut, katanya, pemansuhan tol akan menyebabkan perbelanjaan tambahan berikutan terdapat perjanjian yang dibuat bersama syarikat konsesi.

“(Isu) tol adalah perkara yang saya warisi. Tetapi dalam soal tol, apabila kita tutup kita terpaksa berbelanja untuk membayar pampasan kerana sudah ada perjanjian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya setuju dengan awak. Ramai yang merungut tentang tol di Kuala Lumpur. Apa yang kita buat sekarang? Perkara ini mengambil masa (untuk diselesaikan).

“Kewangan negara mesti kukuh dan barulah kita boleh berunding semula (dengan syarikat konsesi). Sekarang ini, kita terikat dengan perjanjian bersama syarikat tol,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada hadirin mengenai terlalu banyak plaza tol di ibu negara semasa sesi dialog Malaysia MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini.

Pada 16 November tahun lalu, media melaporkan kerajaan memulakan rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya berhubung penstrukturan semula tol membabitkan 19 lebuh raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, 19 lebuh raya terbabit adalah di bawah pengurusan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), Gamuda Bhd, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), IJM Corporation Bhd, ANIH Bhd, dan PLUS Malaysia Bhd.

Rundingan dikatakan bermula selepas pembangkang bertanya tentang langkah kerajaan mengkaji semula semua perjanjian dan rundingan konsesi lebuh raya bagi mendapatkan harga terbaik bagi mencapai penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi Lebuhraya Utara Selatan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *