Kongres KEADILAN 2023 Serlah Kematangan Parti, Kejayaan PM Anwar Terajui Kerajaan

Perdana Menteri yang juga Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anggota parti melaungkan 'Reformasi' pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 26 Nov – Melabuhkan tirai hari ini, Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 dilihat menterjemahkan kematangan parti selain memaknai kejayaan Presiden KEADILAN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata kemenangan terbesar KEADILAN bukan hanya terletak pada kejayaan ‘menawan’ Putrajaya dan mengetuai Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya kejayaan terbesar adalah mencipta kestabilan politik dalam hanya tempoh setahun menerajui pentadbiran negara.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata perhimpunan tahunan itu menjadi medan akar umbi melontarkan pandangan, cadangan dan kritikan untuk memacu KEADILAN ke arah lebih baik selaras dengan usia parti yang menginjak usia 25 tahun pada 2024.

“Kongres berjalan dengan amat lancar… suara-suara serta pandangan daripada akar umbi, mengingatkan kita berada di Putrajaya (sebagai Kerajaan Persekutuan) bukan kemenangan untuk harta (membolot kekayaan).

“Sebaliknya ia satu amanah daripada rakyat yang mengharapkan perubahan besar dan baik untuk mereka. Tahun pertama telah selesai (sejak menjadi kerajaan), kestabilan (politik) telah kita capai dan itulah kemenangan kita yang tidak disebut… inilah kerajaan paling stabil,” katanya.

Fahmi berkata segala teguran dilontarkan daripada peringkat akar umbi hingga pucuk pimpinan akan diteliti dalam semua aspek supaya KEADILAN tidak tersasar daripada landasan perjuangannya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kongres berakhir, yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula semalam.

Kongres itu dihadiri Anwar, pimpinan kanan parti serta ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Fahmi berkata sambutan diterima amat membanggakan dengan kehadiran 1,485 perwakilan seluruh negara serta 1,770 pemerhati berdaftar.

Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 adalah yang pertama selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi Kerajaan Perpaduan pada 24 November 2022.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *