Konflik Asia Barat: Malaysia Sokong Pakistan Jadi Pengantara AS-Iran – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu segera memanfaatkan ruang diplomasi pada 25 Mac 2026.

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia menyambut baik sambil menyokong langkah Pakistan menawarkan diri sebagai pengantara dialog antara Amerika Syarikat dan Iran dengan menekankan bahawa inisiatif itu penting dalam meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, kedua-dua negara perlu segera memanfaatkan ruang diplomasi yang masih ada dan tidak menjadikannya sebagai alat taktikal untuk melanjutkan konflik.

Anwar turut memuji usaha Pakistan serta beberapa pemimpin negara sahabat lain yang tampil ke hadapan pada saat genting itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji Perdana Menteri Shehbaz Sharif serta kepemimpinan negara sahabat lain yang tampil menggalas tanggungjawab menjadi pengantara konflik Iran-Amerika Syarikat pada 25 Mac 2026.

“Saya memuji Perdana Menteri Shehbaz Sharif serta kepemimpinan negara sahabat lain yang tampil menggalas tanggungjawab tatkala rantau ini diancam bahaya yang kian meruncing.

“Keakraban Pakistan dengan pelbagai pihak, di samping wibawanya sebagai suara yang dihormati di dunia Islam, meletakkan republik itu di kedudukan yang ampuh untuk merintis jalan ke arah rundingan yang bermakna.

“Malaysia mendukung penuh usaha ini dan menggesa Amerika Syarikat serta Iran khususnya agar menyahut tawaran ini dengan jiwa yang besar demi keamanan dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, meskipun isyarat ke arah diplomasi masih belum menyeluruh, ia tetap memberi harapan bahawa ruang rundingan masih wujud dan perlu diusahakan dengan kejujuran.

Menurutnya, sebarang rundingan mesti berasaskan niat murni untuk menamatkan konflik, bukannya sekadar untuk melengahkan peperangan.

“Lantaran itu sebarang rundingan mestilah digerakkan atas paksi kejujuran serta komitmen yang jitu untuk menangani konflik dan bukan sekadar taktik atau helah untuk melanjutkan peperangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan sebarang rundingan mesti berasaskan niat murni untuk menamatkan konflik, bukannya sekadar untuk melengahkan peperangan pada 25 Mac 2026.

“Masyarakat antarabangsa telah menyaksikan pelbagai siri gencatan senjata yang sering kali menjadi taktik untuk melengahkan konflik dan bukan menjadi penyelesaian mutlak,” tegasnya.

Pada masa sama, Malaysia menegaskan hak Iran untuk mempertahan kedaulatannya di bawah undang-undang antarabangsa terutama ketika Iran dan Lubnan dihujani serangan Zionis.

Anwar turut menyatakan kebimbangan terhadap pelaksanaan undang-undang antarabangsa yang dilaksanakan secara terpilih

“Ia tidak boleh melindungi satu pihak daripada pertanggungjawaban sambil menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri. Kredibilitinya bergantung pada konsistensi,” katanya.

Tambah Anwar beliau turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Turkiye, Mesir, Indonesia, Jepun dan Pakistan bagi memahami situasi semasa serta menggesa usaha meredakan ketegangan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *