Konflik Asia Barat: Malaysia, New Zealand Sepakat Tangani Cabaran – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon pada 24 Mac 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia dan New Zealand akan terus memperkukuh hubungan dua halanya di bawah kerangka perkongsian strategik, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan serta kerjasama tenaga.

Komitmen bersama itu disuarakan sewaktu perbualan telefon antara Perdana Menteri dengan rakan sejawatannya dari New Zealand, Christopher Luxon.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedua-dua negara juga akan terus berhubung rapat dalam mendepani cabaran semasa khususnya konflik di Asia Barat demi kepentingan bersama.

“Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Dalam perbualan telefon itu, Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran serta menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah undang-undang antarabangsa.

“Malaysia kekal menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam serta kembalinya semua pihak ke meja rundingan melalui saluran diplomasi,” katanya.

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Mac 2026. Foto X Christopher Luxon

Menerusi perbulalan itu juga, kedua-dua pemimpin turut menyentuh kesan konflik terhadap sektor tenaga New Zealand, termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan terhadap ekonomi domestik di negara berkenaan.

“Saya menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB),” katanya.

Difahamkan, harga minyak global terus mengalami situasi tidak menentu ketika ini, dengan penanda aras dunia Brent mencatat kenaikan mendadak sejak konflik di Asia Barat meletus pada 28 Februari lalu.

Kenaikan harga minyak dunia terus tidak terkawal apabila Selat Hormuz iaitu laluan utama minyak dunia terjejas akibat peperangan itu, sekali gus menjadikan bekalan minyak dunia terhad, mengakibatkan harganya mula melonjak.

Susulan itu, Anwar dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Malaysia turut terkesan dengan situasi itu memandangkan hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz.

Kesan ketara kata Perdana Menteri adalah perbelanjaan bagi subsidi kerajaan terutama ke atas bahan api itu yang mula meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *