Konflik Asia Barat: Jumlah Rakyat Malaysia Terkandas Kini 641 Orang

Antara rakyat Malaysia yang selamat tiba di KLIA pada 5 Mac 2026 selepas terkandas di Asia Barat susulan konflik rantau itu. Mereka pulang menerusi penerbangan Emirates EK342 dari Dubai. Foto In Saff Travel
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Bilangan rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Asia Barat susulan ketegangan di rantau berkenaan sudah berkurangan kepada 641 orang.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, semua yang dihubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia dilaporkan selamat, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas bersama United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di Lubnan.
“Kementerian Luar mengesahkan usaha penyelarasan evakuasi bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat peningkatan konflik di beberapa kawasan sedang diteruskan.

“Usaha semasa terus tertumpu kepada membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik itu,” katanya turut memaklumkan nasihat perjalanan dikeluarkan pada 5 Mac lalu kekal berkuat kuasa.
Wisma Putra memaklumkan perwakilan diplomatik Malaysia di seluruh rantau berkenaan terus beroperasi dalam mod penyelarasan evakuasi.
Menurutnya, pegawai konsular sudah ditempatkan di hab transit, lokasi perhimpunan serta titik pelepasan merentasi sempadan bagi menyokong pergerakan konvoi evakuasi serta membantu rakyat Malaysia semasa proses pelepasan perjalanan
Arab Saudi katanya, terus berfungsi sebagai hab peringkat serantau utama bagi penyelarasan evakuasi.
“Rakyat Malaysia dari lokasi yang menghadapi sekatan ruang udara sedang dibantu melakukan perjalanan darat ke Riyadh dan Jeddah, sebelum menyambung penerbangan komersial seterusnya ke Kuala Lumpur.
“Perwakilan diplomatik sedang menyelaras pergerakan ini, termasuk pengaturan pengangkutan jalan raya, penyediaan dokumen kemasukan serta visa, dan penyelarasan prosedur ketibaan dengan pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
