Konflik Asia Barat: Harga Bilik Hotel UAE Jatuh Merudum

Kapasiti penginapan turun mendadak di UAE setelah Iran melancarkan serangan yang mensasarkan hotel dihuni tentera Amerika Syarikat sejak 28 Februari 2026.

ISTANBUL, 23 Mac – Harga di kebanyakan hotel bertaraf empat bintang di Dubai dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), jatuh sehingga 75 peratus pada April kepada sekitar US$50 hingga US$60 satu malam, manakala hotel lima bintang turun lebih 66 peratus kepada US$100 hingga US$150 susulan peningkatan ketegangan di rantau itu, menurut laporan RIA Novosti.

Agensi itu menganalisis tawaran hotel untuk dua penginap setakat awal April.

Secara khusus, di Abu Dhabi, bilik dua orang di hotel empat bintang Mercure berharga US$54 berbanding sekurang-kurangnya US$200 hingga US$250 pada Januari dan Februari.

Hotel di Emiriah Arab Bersatu (UAE), jatuh sehingga 75 peratus pada April kepada sekitar US$50 hingga US$60 satu malam pada 22 Mac 2026.

Situasi sama dilihat di hotel TRYP by Wyndham dengan harga bermula US$57, Ramada Downtown US$54 dan La Quinta by Wyndham US$61.

Hotel lima bintang di Abu Dhabi pula menurunkan harga kira-kira separuh hingga dua pertiga, dengan Rixos Marina menawarkan bilik bermula US$225, Ritz-Carlton US$231, Shangri-La US$201 dan Radisson US$125, dengan harga itu berkuat kuasa sepanjang April.

Di Dubai, situasinya sama dengan hotel empat bintang menawarkan bilik pada purata US$50 hingga US$60 termasuk Stella Di Mare, Time Oak dan Hyatt Place.

Bilik di hotel lima bintang Dusit Thani bermula US$95, manakala Hilton Jumeirah sekurang-kurangnya US$155, Pullman Jumeirah US$90, Radisson Blu US$87 dan Movenpick Jumeirah US$167.

Suhu siang di UAE pada April berada dalam lingkungan 25 hingga 30 darjah Celsius.

Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran termasuk Tehran, dengan laporan kerosakan dan korban awam. Iran kemudian membalas dengan melancarkan serangan ke atas wilayah Israel serta sasaran ketenteraan AS di rantau Asia Barat. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *