Komposer Lagu ‘Jesnita’ Kembali Ke Rahmatullah

Allahyarham Harun Ahmad banyak meninggalkan legasi lagu-lagu kegemaran seperti Jesnita, Janji Padamu dan lain-lain.

JOHOR BAHRU, 30 Jul – Komposer lagu ‘Jesnita’ nyanyian kumpulan Exists, Harun Ahmad meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Skudai, Johor kira-kira jam 5 petang, hari ini.

Perkara ini disahkan oleh anak saudaranya yang juga bekas penyampai Radio Era dan Sinar FM, Najman Mohamed.

“Isterinya balik dari kedai dan mendapati arwah terbaring di atas katil dalam keadaan tidak bernyawa. Semalam pula adalah hari ulang tahun kelahirannya yang ke-55.

“Dia dah beberapa hari demam dan mungkin ada beberapa penyakit lain,” katanya.

Najman berkata, Harun adalah adik kedua terakhir kepada Allahyarham ibunya daripada 13 adik-beradik.

Allahyarham meninggalkan isteri, Masnizah Mohyi, 50; dan tiga anak iaitu Fatin Nurhaziqah, 26; Fatin Nurhidayah, 23; dan Muhamad Farish Hakimi, 20.

Semasa hayatnya, Harun dikenali sebagai komposer yang berbakat besar. Namanya melonjak naik menerusi lagu Jesnita nyanyian kumpulan Exists.

Selain Jesnita, Harun turut mencipta dua lagi lagu popular Exists iaitu ‘Langkah Seiringan’ dan ‘Janji Padamu’.

Lagu lain ciptaannya ialah Hadirlah Mustika nyanyian kumpulan Spin, Bicara Kasih (Elly Mazlein), Satu Kenangan (Kristal), Lafaz Cinta (Khai) dan Alya Mysara (Mamat).

Sementara itu, kumpulan Exists menetusi Facebook mereka melahirkan kesedihan terhadap pemergian Harun.

“Telah kembali ke rahmatullah abang Harun Bin Ahmad pencipta lagu Langkah Seiringan, Janji Padamu & Jesnita petang tadi di Taman Teratai Skudai ,Johor Bahru.

“Esok jasadnya akan dikebumikan di kampung halamannya Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor.

“Mari sedekahkan Al Fatihah buat arwah. Semoga rohnya berada dikalangan orang-orang yang beriman,” tulis mereka.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *