Komitmen Kerajaan Tangani Rasuah Tingkatkan Keyakinan Pelabur – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemubual CNBC dalam satu wawancara bersama stesen televisyen perniagaan itu baru-baru ini. Foto CNBC
KUALA LUMPUR, 30 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan dalam menangani rasuah bagi meningkatkan keyakinan pelaburan asing dan tempatan.
Perdana Menteri berkata, beliau mengambil pendekatan yang tegas dalam menangani masalah dan gejala rasuah.
“Kita perlu menyelamatkan negara, bagai saya masalah utama adalah tadbir urus yang lemah dan rasuah yang berleluasa,” katanya dalam temubual bersama CNBC.
Anwar berkata, pelabur akan lebih yakin apabila melihat konsistensi yang telus dan komitmen kukuh untuk menghapuskan rasuah.

“Tanpa kepercayaan dan keyakinan itu, tiada siapa yang akan melabur secara besar-besaran. Kecuali mereka yang mempunyai aturan rasuah, mereka akan teruskan. Tetapi itu mesti dihentikan, nasib baik ia sudah berhenti.
“Walaupun begitu, kami masih meneruskan misi ini kerana rasuah hampir sistemik. Apabila ia menjadi sistemik, misi dan usaha melawan rasuah mesti dilakukan dengan sepenuh tenaga,” katanya.
Menjawab soalan CNBC sekiranya kerajaan bertindak terlalu cepat dan keras dalam membanteras rasuah, Anwar berkata, sekiranya ada pilihan beliau akan mengejar mereka tanpa belas kasihan.

Bagaimanapun, katanya, beliau perlu berbincang dengan parti gabungannya untuk mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya tegaskan jika mereka bertindak terlalu lambat dan tidak berkesan, negara tidak akan dapat diselamatkan.
“Saya rasa sekarang kita mendapat kemajuan yang cukup untuk menunjukkan misi ini akan diteruskan,” katanya.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak bercakap secara khusus mengenai sebarang kes rasuah mahupun menyebut nama mana-mana bekas pemimpin dalam temu bual terbabit.

Namun, beberapa kes rasuah masih menjadi tajuk utama apabila perbincangan mengenai tadbir urus yang baik di negara ini berlangsung.
Satu daripada kes paling terkenal ialah skandal pengubahan wang haram, di mana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah menggelapkan jutaan dolar daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
