KKM Diminta Tambah Pakar, Kakitangan Di Hospital Tawau Segera

Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui bersama Abd Kahar dan kakitangan Hospital Tawau bergambar kenangan selepas melakukan lawatan kerja ke hospital itu. Foto Facebook Lo Su Fui

TAWAU, 28 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta supaya menambah bilangan doktor pakar dan kakitangan kesihatan di daerah ini memandangkan hospital baharu bakal beroperasi pada bulan depan.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, Hospital Tawau ketika ini memerlukan kakitangan kesihatan tambahan bagi memenuhi keperluan jumlah pesakit di daerah ini dan sekitarnya.

Katanya, ramai pesakit terpaksa dihantar ke Kota Kinabalu terutamanya yang memerlukan rawatan pakar disebabkan kekurangan tenaga pakar di Hospital Tawau ketika ini.

Menurutnya, isu ini sudah banyak kali dibangkitkan pada sidang Parlimen supaya pihak KKM mengambil maklum dan perhatian mengenai keperluan penambahan kakitangan di Hospital Tawau.

Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui bersama Abd Kahar dan kakitangan Hospital Tawau bergambar kenangan selepas melakukan lawatan kerja ke hospital itu. Foto Facebook Lo Su Fui

“Hospital baharu itu sepatutnya memerlukan kira-kira 1,000 orang kakitangan kesihatan, namun saya difahamkan hanya 280 jawatan yang akan diluluskan.

“Justeru, setelah saya bangkitkan isu berkenaan baru-baru ini, pihak KKM berjanji akan menambah bilangan petugas kesihatan di Hospital Tawau dari secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Wad Kanak-Kanak dan merasmikan majlis Rumah Terbuka Hospital Tawau, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis, Pengarah Hospital Tawau, Dr. Norlimah Arsad dan Timbalan Pengarah Hospital Tawau, Dr. Azman Ibrahim.

Mengulas lanjut, katanya, kekurangan kemudahan rawatan terutamanya Pengimej Resonans Magnet ataupun Magnatic Resonance Imaging (MRI) Scan juga perlu diambil perhatian oleh pihak KKM.

“Semasa melawat di Hospital Tawau, saya dapati masih banyak lagi kekurangan dari segi kemudahan dan kelengkapan untuk pesakit di sini.

“Saya berharap pihak KKM dapat menyediakan kelengkapan yang sempurna di Hospital Tawau kerana ia melibatkan kepentingan awam,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *