KKD Laksana Pelan Tindakan Fasa Pertama Selesai Isu Industri Kreatif – Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (kiri) semasa sesi perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama agensi di bawah kementerian itu hari ini. Foto Facebook Fahmi Fadzil.
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pelan tindakan fasa pertama bagi menyelesaikan isu yang membelenggu pemain industri kreatif tempatan, akan bermula seawal suku ketiga antara Julai hingga September tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata semua permasalahan itu akan diselesaikan mengikut fasa, menerusi pelan tindakan yang telah dibentangkan dalam satu perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama agensi di bawahnya, hari ini.

Fahmi berkata perbincangan tersebut adalah untuk menganalisis dapatan daripada empat sesi dialog awam bersama pemain industri muzik, persembahan, industri kreatif dan filem, yang telah diadakan sebelum ini.
“Enam bulan pertama, saya ingin pastikan suara pemain industri kreatif didengari. Semestinya, merekalah yang paling tahu masalah yang berlaku dalam industri ini. Saya telah mendengar suara anak seni melalui empat sesi dialog awam.
“Adakah ‘mendengar’ sahaja sudah cukup? Tidak. Itu hanya langkah pertama untuk saya faham masalah yang dihadapi,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.
Justeru, Fahmi berkata pelan tindakan yang dibentangkan dalam perbincangan itu merupakan selangkah ke arah reformasi industri kreatif tanah air.
“Pelan tindakan telah pun dibentangkan tadi. Kesemua permasalahan ini akan diselesaikan mengikut fasa di mana pelan tindakan fasa pertama akan bermula seawal suku ketiga 2023.
Insya-Allah selangkah ke arah reformasi industri kreatif,” ujarnya.
Antara masalah utama yang dikenal pasti termasuklah kebajikan penggiat seni, isu caruman tetap penggiat seni, kadar royalti serta isu-isu berkaitan memasarkan produk seni negara ke peringkat antarabangsa menerusi platform digital dan peluang persembahan seni di luar negara serta kerjasama serantau bagi menggalakkan bakat muda menonjol di pentas berprestij seperti Anugerah Grammy atau Festival Filem Cannes di Perancis.
