Keunikan ‘Spring Cleaning’ Simbolik Pada ‘Buang Yang Lama Untuk Sambut Era Baharu’

Infografik yang dikongsikan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai yang menganjurkan ‘Spring Cleaning’ sempena Tahun Baru Cina 2024. Foto Facebook Andre Lai
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Amalan bergotong royong mungkin sesuatu yang sering dibuat oleh mana-mana persatuan penduduk di negara ini, namun bagi masyarakat Cina, ia menjadi satu kebiasaan khusus yang dipanggil sebagai 大扫除 (Da Sau Chu).
Ia juga digelar sebagai ‘spring cleaning’ kerana Tahun Baru Cina jatuh pada musim bunga di negara China purba. Atas sebab inilah di negara China perayaan ini masih lagi dipanggil Spring Festival (Festival Musim Bunga) sehingga ke hari ini.
Adalah dipercayai bahawa amalan itu membawa tuah dan kesihatan ke dalam rumah tangga penghuninya. Tindakan membersih dan mengemas rumah difikirkan dapat membantu menghilangkan sebarang ‘chi’ atau tenaga yang terkumpul sepanjang tahun lalu.
Secara tradisi, orang ramai membersihkan rumah mereka secara menyeluruh dari luar hingga ke dalam. Ramai orang juga mengambil peluang ini untuk membaiki atau menggantikan barang-barang yang lama atau telah rosak di rumah mereka.

Secara simboliknya, ia membuang sampah lama untuk menjemput ‘aura’ baharu masuk ke dalam rumah sempena meraikan sambutan tahun baharu.
Namun bagi Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai berpandangan amalan ini bukan merupakan satu ‘ritual’ tahunan untuk diri sendiri tetapi untuk manfaat masyarakat setempat.
Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau membantu menganjurkan ’Spring Cleaning’ dan gotong-royong di banyak kawasan termasuk Seksyen 2 di Wangsa Maju dan Kampung Kuantan.
Tahun ini, ’Spring Cleaning’ dijalankan dengan lebih menyeluruh di Kampung Lee Kong Chian, Danau Kota dan Pasar Pagi Prima Setapak.

Ketua Kampung Lee Kong Chian, Tan Lai Kee menyifatkan kegiatan tahun ini mendapat berkat kerana LAI berjaya membawa bantuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alam Flora dan JKM dalam gotong royong tahunan penduduk kampung.
Seramai 100 terlibat dalam usaha ini yang berlangsung pada 21 Januari lalu. Selain daripada penduduk sendiri, pihak JKM telah menghantar seramai 20 pelatih khidmat masyarakat yang terdiri daripada kalangan anak muda untuk membantu orang kampung untuk membersihkan kawasan sempena Tahun Baru Cina.
”Huluran tangan agensi-agensi kerajaan khususnya JKM banyak meringankan beban keluarga di kampung, yang terdiri daripada rata-rata warga yang umur telah meningkat. Saya amat berterima kasih kepada Encik Lai, atas keprihatinan beliau dalam hal ehwal kampung,” jelas Lai Kee.
LAI, yang juga Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur menitik berat amalan kebudayaan Cina ini meskipun beliau bukan menuntut dalam aliran pendidikan Cina.

Tidak dinafikan perkembangan pesat negara telah membawa arus pemodenan namun pada masa sama malangnya amalan kebudayaan nenek moyang ini makin dilupakan generasi muda.
“Da Sao Chu satu kegiatan tahunan kita membuang yang lama, demi kehadiran tahun baru dalam kalendar Cina. Mungkin di zaman purba, masyarakat Cina terdahulu percaya pembersihan tahunan dapat membuangkan ’chi’ yang lama dan mendapat ’chi’ yang baru.
“Dalam konteks moden, secara simbolik ia boleh menbuang amalan yang kurang baik seperti feudalisme demi menyambut Malaysia MADANI atas nama membina negara,” ujar Lai.
Meskipun Tahun Baru Cina jatuh pada 10 Februari ini, tetapi amalan ’Spring Cleaning’ telah bermula tiga minggu lebih awal sekaligus menerapkan elemen kebersihan komuniti dan kawasan setempat sepanjang masa.

Uniknya lagi, perpaduan antara kaum terus dipupuk dalam satu amalan murni yang menjadi teras merealisasikan konsep Malaysia MADANI.
Konsep membersih dan melestarikan alam sekitar dengan amalan sebegini menjadi contoh terbaik yang boleh dilakukan secara berkala bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan warga Wangsa Maju khasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
