Kes Zara: Saksi Boleh Mohon Perlindungan Polis Sekiranya Diancam

Pakar patologi Dr Jessie Hiu yang memberi keterangan semasa prosiding inkues antara saksi yang boleh meminta perlindungan polis sekiranya membuat permohonan berkenaan.

KOTA KINABALU, 8 Sep – Mana-mana saksi prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, di sini, boleh memohon perlindungan polis sekiranya merasakan diri mereka terancam termasuk hantaran di pelantar media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan, namun persiapan keselamatan tetap dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perjalanan inkues.

“Kalau ada yang mahu perlindungan, boleh buat permohonan. Setakat ini, tiada permohonan diterima. Bagaimanapun, prosiding inkues berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Polis juga masih ditempatkan di kawasan mahkamah bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pakar patologi Dr Jessie Hiu (kanan) memberi keterangan pada prosiding inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 3 September 2025.

Pada Jumaat lalu, polis mengesahkan menerima laporan yang dibuat pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, berhubung ugutan diterimanya daripada netizen selepas memberi keterangan selama dua hari dalam prosiding berkenaan.

Sehari selepas itu, seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun ditahan kerana disyaki mengugut Dr Jessie yang juga pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Suspek berkenaan ditahan kira-kira jam 7 pagi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas polis menerima laporan mengenai kenyataan berunsur ugutan jenayah yang dimuat naik di laman Facebook menggunakan akaun atas nama ‘Amung Kamaruddin’.

Imej tangkap layar kenyataan berbaur hasutan yang dirakam semasa himpunan ‘Justice For Zara’ di Tawau pada 31 Ogos 2025.

Dalam perkembangan sama, Kasim berkata rondaan keselamatan turut dilakukan di kawasan kediaman Dr Jessie bagi memastikan keselamatannya terus terjamin.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *