Kes Tembak AKPS: Dua Lagi Dicekup, Jumlah Terkini 9 Orang – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam NegeriX Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meninjau keadaan terkini pada Lawatan Rasmi Ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada 28 Februari 2026. Foto Shahir Noordin

BUKIT KAYU HITAM, 28 Feb – Dua lagi lelaki tempatan ditahan polis malam tadi, bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap kenderaan dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sini, Rabu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan terbaharu itu membabitkan dua lelaki berusia 51 dan 58 tahun itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan setakat ini seramai sembilan selepas tujuh diberkas semalam.

Katanya, maklumat mengenai tangkapan itu dimaklumkan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah yang mengetuai siasatan kes berkenaan bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Keberkesanan penguatkuasaan AKPS mula menjadi bualan orang ramai susulan insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam pada 25 Februari 2026. Foto Bernama

“Proses siasatan akan memasuki tempoh 24 jam pertama dan polis akan membawa kedua-dua suspek ke mahkamah untuk permohonan reman sejurus tempoh itu selesai.

“Dalam tempoh 24 jam pertama ini, kita masih menjalankan proses siasatan. Selepas itu, kita akan memohon reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan pertemuan tertutup dengan warga AKPS Bukit Kayu Hitam susulan insiden tembakan ke atas Komander Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin M Nasir pada 25 Februari 2026. Foto Bernama

Mengulas sama ada dua suspek baharu itu mempunyai kaitan dengan tujuh individu yang ditahan sebelum ini, Saifuddin berkata, siasatan lanjut mengenai perkara itu sedang dilakukan polis.

Katanya, tangkapan terhadap dua individu berkenaan dibuat hasil maklumat siasatan sebelum ini serta gambaran wajah yang diberikan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam sendiri.

“Komander kita merasakan untuk beberapa tempoh kebelakangan ini dia terasa diekori, jadi dia ‘describe‘ (gambarkan) personaliti (contohnya) rambut ikal mayang dan sebagainya.

Mohd. Nasaruddin (kiri) turut melihat siasatan yang dilakukan anggota polis dan forensik ke atas SUV X70 yang terkena tembakan dalam kes AKPS di Bukit Kayu Hitam pada 25 Februari 2026.

“Jadi kita profilkan gambaran itu dan polis berjaya kenal pasti dua warga tempatan dari kawasan sekitar,” katanya.

Ketika ditanya sama ada insiden itu membabitkan kumpulan jenayah dari negara jiran, Saifuddin berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan memandangkan kejadian berlaku di sempadan selain salah seorang suspek adalah warga Thailand.

Sementara itu, beliau turut mengarahkan kawalan keselamatan terhadap pegawai yang disyaki menjadi sasaran ditingkatkan serta-merta.

“Saya sudah beri arahan kepada Ketua Pengarah AKPS untuk meningkatkan kawalan ke atas pegawai kita yang dipercayai menjadi sasaran mana-mana pihak.

Polis sedang melakukan pemeriksaan terhadap Proton X70 yang digunakan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam , Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dalam kejadian tembakan pagi 25 Februari 2026.

“Butiran langkah keselamatan itu saya serahkan kepada Datuk Seri Mohd Shuhaily untuk dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard sedia ada,” katanya.

Rabu lalu, media melaporkan Proton X70 dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak dengan dua das tembakan.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, dua lelaki bermotosikal menghampiri kenderaan dipandu mangsa ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh sebelum melepaskan beberapa das tembakan.

Bagaimanapun, Mohd Nasaruddin terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Semalam, tujuh individu termasuk seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun dilaporkan ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis.

  • Oleh Noorazura Abdul Rahman

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *