Kes ‘Roblox’: Kerajaan Teliti Mekanisme Lesenkan Permainan Dalam Talian

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah pada 30 Oktober 2025. Foto Kementerian Komunikasi
RAUB, 30 Okt – Suatu mekanisme kawal selia baharu bagi memastikan permainan dalam talian dan aplikasi media sosial lebih selamat, terutama kepada pengguna bawah umur, sedang diteliti Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ia susulan satu kes jenayah membabitkan seorang kanak-kanak di Kampung Parit Nipah Laut di Batu Pahat, Johor Isnin lalu yang parah dikelar dan ditikam, dipercayai oleh abangnya sendiri berusia sembilan tahun.

Difahamkan akibat tiada kawalan terhadap tempoh bermain serta kecenderungan kepada permainan berkenaan hingga menyebabkan kejadian berkenaan mendorong kajian tersebut dilakukan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata ia susulan kebimbangan semakin meningkat terhadap keselamatan penggunaan kanak-kanak termasuk dalam kes terkini yang membabitkan permainan di aplikasi Roblox.

Perkembangan tidak sihat itu dikhuatiri akan merebak kepada kegiatan jenayah sama ada secara dalam talian atau fizikal yang boleh mengakibatkan masyarakat bimbang dengan peningkatan kes-kes di kalangan kanak-kanak di luar waktu persekolahan.
Mengulas lanjut, katanya kementerian kini menilai keperluan melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox yang dianggap tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun.

Selain Roblox, permainan lain termasuk Grand Theft Auto (GTA), Call of Duty, PUBG, Free Fire, Fortnite, Dead by Daylight, Among Us, Horrorfield dan The Outlast Trials.
“Kami sedang mengkaji kerangka peraturan paling sesuai dan berkesan. Beri kami sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, tetapi yang pasti, kita tidak boleh berdiam diri.

“Setakat ini, kerajaan belum buat keputusan rasmi mengenai perkara ini.
”Saya menyeru ibu bapa sentiasa pantau aktiviti dalam talian anak-anak dengan lebih dekat,” katanya selepas merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah di sini hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
