Kes Rasuah Tender: SPRM Sita Jongkong Emas, Wang Tunai RM6.9 Juta

Jongkong emas antara sitaan SPRM kira-kira RM6.9 juta dalam siasatan membabitkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bermula sejak akhir tahun lalu.

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita tiga jongkong emas tulen 999 masing-masing seberat satu kilogram bernilai kira-kira RM1.8 juta daripada suspek yang sedang disiasat dalam projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Jongkong emas antara sitaan kira-kira RM6.9 juta dalam siasatan membabitkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bermula sejak akhir tahun lalu.

Selain emas, turut disita kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing.

Kenderaan membawa bekas PTD memasuki ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 3 petang 7 Januari 2026 bagi membantu siasatan perolehan TDM sebelum ditahan empat jam kemudian.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

“Kesemua sitaan disiasat mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan itu, sumber berkata, wang tunai yang disita itu meliputi nilai dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS), euro, pound, yen (Jepun) dan riyal (Arab Saudi).

“Bagi sitaan kenderaan mewah pula, ia adalah hasil pemeriksaan SVR di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang yang dipercayai ditinggalkan untuk tujuan pembaikan.

“Barang kemas yang disita pula adalah tiga unit jongkong emas 999 yang setiap satunya seberat satu kilogram, di mana nilai semasanya adalah kira-kira RM1.8 juta.

“Selain itu, turut disita adalah sembilan keping emas yang setiap satunya seberat 100 gram, yang nilai semasanya adalah lebih setengah juta ringgit, di samping SVR yang dianggarkan bernilai kira-kira RM360,000 dan dipercayai dibeli secara tunai,” kata sumber.

SPRM juga menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan TDM dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan projek TDM.

SPRM pada 23 Disember tahun lalu hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Pada 24 Disember 2005, SPRM memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.

– Oleh Ilah Hafiz Aziz

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *