Kes Azam: Peguam Negara Ketuai Jawatankuasa Siasatan

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar akan mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam Baki.
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar akan mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
“Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.

“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pihak berkuasa tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Beliau juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Azam dalam reaksi balasnya pula menegaskan bersedia dan terbuka untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan sahamnya.
Susulan siasatan itu, Anwar petang tadi turut memaklumkan tiada keperluan untuk merehatkan Azam sementara siasatan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
