Kertas Siasatan Tiga Pemimpin Pas Telah Diserah Kepada Pendakwa

Kertas siasatan membabitkan tiga pemimpin Pas iaitu Abdul Hadi Awang, Siti Mastura Muhammad dan Fawwaz Jan – telah diserahkan kepada pendakwa untuk tindakan lanjut.
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Kertas siasatan terhadap tiga Ahli Parlimen Pas, termasuk Abdul Hadi Awang, telah dirujuk kepada pendakwa.
Siasatan tersebut membabitkan dakwaan Abdul Hadi bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera ialah punca rasuah, dan kenyataan didakwa menghasut yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Jan terhadap golongan bukan Islam.
Satu lagi kertas siasatan melibatkan Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad yang mendakwa Pengerusi DAP Lim Guan Eng, bapanya Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng serta bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan terhadap Hadi, Ahli Parlimen Marang, telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Manakala kertas siasatan berkaitan laporan polis terhadap (Ahli Parlimen) Permatang Pauh telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang dan masih dalam kajian pihak mereka.
“Berkait kes Siti Mastura, kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Pada 20 Ogos 2022, dalam catatan di Facebook, Hadi yang juga presiden Pas mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai majoriti yang terlibat dalam rasuah, mencetuskan laporan polis dibuat terhadapnya.
Sementara itu, dalam sebuah ceramah pada 4 November tahun lepas, Mastura mendakwa Kit Siang ialah sepupu Chin Peng dan Lee, manakala Kok ialah sepupu kepada Betty Chew, isteri Guan Eng.
Tiga tokoh DAP itu kemudian memfailkan saman, dan dalam pernyataan pembelaannya, Mastura berkata, dakwaan tersebut dibuat berdasarkan sumber politik yang dipercayainya sah.
Fawwaz pula disiasat berhubung catatan Facebook pada Januari yang mendakwa orang kafir sedang berusaha untuk “menjatuhkan Islam”.
Bagaimanapun, beliau kemudian mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas catatan itu, mendakwa ia dihantar oleh pengendali akaun Facebook miliknya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
