Kerajaan Yakin Capai Sasaran Ekonomi Digital Ditetapkan PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan sasaran sumbangan ekonomi digital melebihi 30 peratus daripada KDNK menjelang 2030. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 20 Sep – Kerajaan optimis sumbangan daripada ekonomi digital mampu menyumbang 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun 2030 sebagai antara sasaran yang ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya melihat sasaran itu sebagai sesuatu yang boleh dicapai, dengan Perdana Menteri telah menyatakan sasaran ekonomi digital untuk menyumbang 25.5 peratus daripada KDNK tahun ini.
“Melangkah ke hadapan, kami pasti akan melihat lebih banyak pelaburan berkaitan ekonomi digital, yang mana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menguruskan soal pembinaan ekosistem diperlukan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancaran Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Acara selama tiga hari bermula semalam, anjuran MDEC dengan kerjasama strategik Synapze Sdn. Bhd. itu mengetengahkan tema ‘Catalysing Malaysia’s Trillion-Dollar Digital Future’ dalam mempamerkan kejayaan dalam teknologi baru muncul, transformasi digital serta inovasi.
Ia menyorot bagaimana ASEAN, dengan ekonomi digital yang dijangka mencecah AS$1 trilion (RM4.19 trilion) menjelang 2030 boleh memanfaatkan kepimpinan Malaysia untuk menjadi kuasa digital global.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Geran Pecutan Digital Malaysia – Kecerdasan Buatan (MDAG-AI) kepada 13 syarikat penerima bagi menyokong syarikat dengan status Malaysia Digital mempercepat pembangunan dan penggunaan penyelesaian dipacu AI dengan potensi pengkomersialan tinggi.
Di bawah MDAG-AI yang diperkenalkan pada Julai lalu, syarikat yang layak boleh memohon untuk pembiayaan meliputi sehingga 70 peratus daripada jumlah kos projek, dihadkan kepada RM2 juta, untuk projek berjalan sehingga setahun.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
