Kerajaan Takkan Biar Penduduk Kampung Bahagia Bersendirian – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi yang menempatkan mangsa di Kampung Bahagia, Sandakan pada 22 April 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 23 Apr – Kerajaan tidak akan membiarkan penduduk terkesan bersendirian sambil menegaskan komitmen berterusan dalam membantu penduduk yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan di Sabah.
Menerusi perkongsian video di media sosial, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap ujian yang dihadapi rakyat akan ditangani dengan sokongan dan bantuan sewajarnya, selain doa agar semua keluarga yang terkesan terus diberikan kekuatan.

“Semoga Allah mengangkat segala kesulitan mereka, menguatkan hati yang diuji dan membuka jalan yang lebih baik buat setiap keluarga yang terkesan
“Dalam ujian ini, kita tidak akan membiarkan mereka bersendirian. Kita hadir dengan bantuan, doa, dan tekad untuk memastikan mereka kembali bangkit meneruskan kehidupan.
“Terus kuat buat warga Kampung Bahagia, Sandakan,” ujar Anwar.
Hantaran video berkenaan turut mendapat perhatian warganet yang meninggalkan komen positif terhadap bantuan dan sumbangan yang diberikan segera oleh Kerajaan MADANI serta bantuan daripada kerajaan negeri Sabah.

“Terima kasih PMX mengambil berat dan memberi bantuan kepada orang-orang kampung kami. Semoga PMX sentiasa sihat selalu dan dipermudahkan segala urusan pribadi serta urusan negara kita tercinta ini🤍,” kata Mohd Farshad.
Antara bantuan yang diselaraskan termasuk RM1,500 kepada setiap keluarga rakyat Malaysia dan RM300 buat murid-murid warganegara yang belajar di 12 sekolah sekitar kawasan berkenaan dan akan disalurkan menerusi sekolah masing-masing.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
