Kerajaan Sasar Hapus Pangkalan Haram Di Kelantan, Kedah Dan Perlis – Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution Ismail ketika meraikan media dan anggota parti KEADILAN pada majlis Makan Malam di Putrajaya. Foto X Saifuddin Nasution
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan bersama Kerajaan Negeri Kelantan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan sebarang bentuk penyeludupan.
Saifuddin Nasution berkata, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dua minggu lalu dalam mencari penyelesaian terbaik menghapuskan pangkalan haram.
“Satu pembentangan dibuat oleh agensi perisikan keselamatan, bukan sahaja membentangkan permasalahan dan ancaman malah mereka juga mencadangkan jalan keluar.
“Antaranya masalah kewujudan pangkalan haram terutama di kawasan sempadan utara negara kita dengan negara jiran iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan.

“Turut disyorkan ialah Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan usaha bersama untuk melupuskan dahulu pangkalan haram,” katanya kepada media pada majlis ringkas di kediamannya di sini, malam tadi.
Beliau berkata, dalam masa terdekat ini, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan kerajaan negeri berkaitan kerana isu keselamatan adalah isu kepentingan bersama.
“Saya akan mulakan cadangan ini untuk berada di Kelantan dahulu sebab kewujudan pangkalan haram ini juga ada di sepanjang Sungai Golok, di sebelah kita.
“Itu antara tujuan pertemuan saya nanti dengan kerajaan negeri iaitu Menteri Besar (Kelantan). Pada masa ini saya belum utus apa-apa surat lagi,” katanya.
Menurut Saifuddin Nasution, perkara itu akan dibentangkan berdasarkan maklumat yang ada.
“Jadi, kita akan bentangkan sebab maklumat ada pada kita, di mana kerajaan negeri boleh bantu terutama daripada segi kalau pangkalan itu didirikan di rizab JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) umpamanya, atau tanah milik kerajaan negeri dan bidang kuasa PBT.
“Saya akan kongsikan keadaan itu dan akhir sekali, langkah melupuskan pangkalan haram adalah pra syarat bagi membendung gejala penyeludupan. Kita ke arah itu,” katanya.
Mengulas mengenai adakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan negara jiran berhubung tindakan terbabit, Saifuddin menjelaskan, perjanjian kerjasama keselamatan sempadan sememangnya sudah wujud sejak sekian lama.
“Memang sentiasa wujud, jadi keutamaan sekarang adalah menyelesaikan bahagian kita dahulu, tapi kita tak boleh selesaikan secara satu pihak dan kerana itu kerjasama negara sahabat diperlukan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
