Kerajaan Perpaduan Terus Stabil Dengan Tonggak GPS Di Sarawak – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Majlis Makan Malam Gala sempena perasmian program Global Muslim Business Forum (GMBF) edisi kedua di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di Kuching malam ini. Foto Mohd Alif Noni
KUCHING, 28 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan Perpaduan kini stabil dengan sokongan kerajaan Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Jelas Anwar, dengan usaha kerjasama di antara dua kerajaan, Malaysia kini mempunyai keyakinan untuk bercakap dan menerokai peralihan tenaga dan transformasi ekonomi baharu.
“Hari ini genap setahun Kerajaan Perpaduan dan kita mencapai dengan keyakinan, kita boleh bercakap tentang peralihan tenaga, transformasi digital, kerancakan ekonomi kerana kita sudah stabil dari segi politik, alhamdulilah.
“Meskipun kita mempunyai dua pertiga majoriti di Parlimen, tetapi saya ingin menyatakan bahawa saya tidak boleh mengabaikan fakta bahawa Premier Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya.

Bagaimanapun Anwar tidak menafikan meskipun beberapa bulan kerajaan didirikan, terdapat beberapa pergolakan kecil, namun kini mampu mengukuhkannya.
“Sudah tentu beberapa bulan pergolakan berlaki agak kecil, tetapi kini dari segi politik, Kerajaan Perpaduan stabil dengan mampu memberi tumpuan kepada ekonomi dan peralihan tenaga,” tambahnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena perasmian program Global Muslim Business Forum (GMBF) edisi kedua di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.
Dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Islamic Chamber of Commerce, Industry and Agrilclture, dan Global One, forum ini bertujuan menjadi hab pengetahuan bagi kerajaan, syarikat dan masyarakat sivil untuk meneroka amalan terbaik dan inovatif dalam pelbagai domain seperti Islam, kewangan, teknologi hijau dan pertanian.
Bertemakan Inovasi dan Transformasi dalam Ekonomi Islam, forum itu akan menampilkan ucap tama oleh pemimpin dunia Islam, sesi pleno, bengkel dan majlis anugerah.
Penganjuran forum tersebut juga bertujuan merapatkan hubungan perniagaan dunia Islam dengan menjalinkan hubungan perniagaan dan perkongsian dengan lebih kukuh di seluruh dunia.
Ia juga bertujuan untuk menggalakkan inisiatif dan program berorientasikan hasil berasaskan nilai untuk impak sosial dan ekonomi bagi pembasmian kemiskinan, dan promosi keusahawanan sosial dan usaha perniagaan.
Usai sesi malam gala tersebut, Anwar dan isteri berangkat pulang ke ibu negara pada jam 10:25 malam tadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
