Kerajaan Perpaduan Terus Komited Perangi Rasuah – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Foto Faisol Mustafa
PUTRAJAYA, 5 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan kerajaan pimpinannya ‘longgar’ dalam memerangi rasuah.
Perdana Menteri menegaskan, dakwaan terbabit tidak benar kerana proses badan kehakiman membabitkan isu rasuah masih diteruskan.
“Tiada ugutan. Malah (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada di sini. Dia tak pernah beri kata dua kepada saya. Ada hak dia atau parti memohon supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan beri pertimbangan.
“Sama ada saya suka atau tidak, rakan atau musuh politik, prinsip keadilan dan proses itu harus dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta supaya semua perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung isu Lembaga Pengampunan membabitkan Najib, dihentikan.
Beliau berkata, ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib Razak dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, keputusan Yang di-Pertuan Agong itu muktamad dan dibuat atas pertimbangan baginda sebagai mercu keihsanan.
“Kita faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan.
“Yang di-Pertuan Agong memutuskan keputusannya itu muktamad atas pertimbangan yang besar, bukan undang-undang. Kerana itu, proses kehakiman dan pertimbangan utama adalah soal ihsan. Jadi, sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang tuanku,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
