Kerajaan MADANI Terus Rapatkan Jurang Sosio Ekonomi Seluruh Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di Penampang, Sabah pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Jumlah peruntukan Sabah yang meningkat di bawah Kerajaan MADANI membuktikan komitmennya untuk terus merapatkan jurang sosioekonomi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berpandangan, peruntukan melebihi tuntutan hasil 40 peratus oleh kerajaan negeri itu boleh dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur.

Ini seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh.

“Ini menunjukkan komitmen pengumuman Perdana Menteri ini adalah untuk memastikan pertumbuhan yang seimbang terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak.

“Ini memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur terutamanya,” katanya kepada pemberita di sini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan peruntukan kepada Sabah meningkat dengan ketara hingga melebihi tuntutan hasil 40 peratus kerajaan negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak beliau mengetuai Kerajaan Perpaduan pada November 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, Sabah pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata, tahun ini saja sebanyak RM16 bilion diberikan kepada negeri ini berbanding dana RM12.9 bilion diberikan kerajaan sebelum ini pada 2022.

Bagaimanapun, katanya, isu 40 peratus tetap akan diatasi melalui muafakat semua pihak di Sabah dengan Kerajaan Persekutuan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *