Kerajaan MADANI Beri Tol Percuma Sempena Aidilfitri Pada 8 Dan 9 April

Alexander Nanta melawat Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar. Foto Bernama
SEREMBAN, 28 Mac – Kerajaan memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 April kepada semua pengguna lebuh raya bagi kenderaan Kelas 1 (persendirian) yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Beliau berkata, pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di semua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April (Isnin) dan akan berakhir pada 11.59 malam, 9 April (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta.
“Keputusan ini adalah melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lepas bertujuan meraikan semua rakyat terutama masyarakat beragama Islam yang menyambut Aidilfitri dan sebagai tanda prihatin serta sama-sama berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia.

“Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini juga, jumlah kenderaan dijangka meningkat 2.46 juta sehari di semua jaringan lebuh raya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban (arah Selatan) di sini hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
