Kerajaan Lulus RM100 Juta Pendahuluan Biayai Projek Baik Pulih Sekolah, Klinik Daif Di Sarawak – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan rakyat suku kaum di Sarawak ketika hadir merasmikan majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di BCCK di Kuching, malam tadi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUCHING, 23 Jun – Kementerian Kewangan akan memperuntukkan sejumlah RM100 juta sebagai bayaran pendahuluan bagi membiayai projek baik pulih sekolah dan klinik daif di kawasan luar bandar Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan disegerakannya pada Isnin ini (esok).

“Memandangkan RM200 juta disebut oleh Premier Sarawak tadi… hari Isnin ini saya akan arahkan Kementerian Kewangan untuk menurunkan RM100 juta.

“Kalau tidak setiap kali program, Premier Sarawak akan tanya kita bila nak bayar hutang,” katanya dalam nada berseloroh ketika berucap pada majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Anwar berkata, kerajaan persekutuan menyokong penuh komitmen dalam mempercepatkan pembangunan dan baik pulih sekolah serta klinik daif menerusi inisiatif pembiayaan terlebih dahulu oleh kerajaan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di BCCK di Kuching, malam tadi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Menurutnya, kesediaan kerajaan persekutuan dalam memberi laluan kepada Sarawak menjalankan projek menggunakan kerajaan negeri terlebih dahulu adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Kita perlu baiki sekolah daif, klinik daif bahkan membina Pusat Kanser Sarawak. Kalau boleh disegerakan, kita segerakan dan luluskan. Kalau tidak, Sarawak boleh laksanakan dahulu.

“Jadi mudah, tidak payah birokrasi atau terdapat halangan yang boleh menyebabkan kelewatan (projek).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di BCCK di Kuching, malam tadi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Misalnya, kalau nak buat klinik di Kapit, tak payah tunggu Putrajaya untuk luluskan. Percayalah pada pengurusan di Kapit atau Kuching untuk luluskan.

“Luluskan dahulu asalkan ikut peraturan kewangan, jangan ada sakau-menyakau, ikut peraturan dan jalankan terus,” ujar beliau.

Anwar menambah, ini akan memudahkan dan mempercepatkan projek sekali gus dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat, khususnya di luar bandar.

Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta tetamu kehormat lain.

– Oleh Marlinda Mardzuki


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *