Kerajaan Laksana Kempen Keselamatan Dalam Talian Di Sekolah – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap kepada penduduk kampung ketika Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI bagi Kementerian Komunikasi di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang pada Sabtu. Foto Facebook Kementerian Komunikasi
SEPANG, 11 Jan – Kerajaan akan melaksanakan kempen keselamatan dalam talian di sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara dalam tempoh terdekat, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, kempen itu diadakan bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran ibu bapa, guru dan murid sekolah tentang keselamatan dalam talian bagi mengelak golongan itu terjerumus menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
“Dalam tempoh beberapa minggu lagi, akan diadakan kempen kesedaran di sekolah untuk tingkat pemahaman serta kesedaran tentang keselamatan dalam talian bagi ibu bapa, guru dan murid sekolah rendah.

“Kita mahu mereka tidak beri sebarang fokus kepada media sosial, maksudnya ‘no media social’ pada peringkat sekolah rendah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi di Kampung Orang Asli Kelinsing di sini hari ini.
Bagi peringkat sekolah menengah, Fahmi berkata, tumpuan kerajaan ialah pendedahan mengenai kaedah penggunaan Internet dan media sosial dengan selamat.

“Hal ini untuk mengelak daripada menjadi mangsa scam (penipuan dalam talian) dan jenayah lain yang ada dalam talian,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Fahmi berkata, terdapat 454 kes penipuan dipercayai menggunakan teknik palsu asli atau deepfake direkodkan sepanjang tahun lalu yang membabitkan kerugian sebanyak RM2.72 juta.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
