Kerajaan Akan Terus Nilai Kesan Faktor Luaran Terhadap Ekonomi – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat reruai pameran selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2024 pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Malaysia akan terus menilai impak daripada faktor luaran terhadap ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa peka mengenai risiko geopolitik dan faktor antarabangsa lain yang boleh mempengaruhi ekonomi Malaysia dan akan menilai keadaan dari semasa ke semasa.

“Kita kini berada di landasan yang betul (untuk mencapai pertumbuhan ekonomi),” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 di sini pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, pada Isnin. Foto RTM

Anwar mengulas mengenai sama ada faktor luaran termasuk gempa bumi di Jepun berukuran 7.1 magnitud baru-baru ini dan perang Rusia-Ukraine yang berterusan akan memberi impak kepada ekonomi Malaysia.

Pada Mei, Kementerian Kewangan berkata kerajaan optimis Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan akan berkembang pada kadar unjuran rasmi antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada 2024, didorong pertumbuhan suku pertama yang lebih tinggi daripada jangkaan. – Bernama


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *