Keputusan Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Anwar Bukti Sistem Kehakiman Bebas

Perdana Menteri menghormati keputusan mahkamah walaupun tidak memihak kepadanya kerana sebenarnya ia berkaitan dengan integriti sistem perlembagaan negara.

PENDAPAT, 5 Jun – Keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merujuk lapan persoalan berkaitan kekebalan seorang Perdana Menteri daripada dikenakan sebarang saman sivil membuktikan sistem kehakiman (judisiari) negara bebas daripada campur tangan eksekutif sejak beliau memegang tampuk kerajaan pada November 2022.

Walaupun Anwar merayu keputusan berkenaan, ia juga tidak dilihat sebagai suatu ‘kekalahan’ tetapi ia lebih kepada prosedur biasa dalam sistem kehakiman apabila sesuatu kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi sama ada menang atau sebaliknya, boleh dirujuk ke Mahkamah Rayuan oleh mana-mana pihak.

Namun yang paling jelas, Perdana Menteri menghormati keputusan mahkamah walaupun tidak memihak kepadanya kerana sebenarnya ia berkaitan dengan integriti sistem perlembagaan negara dan keperluan memastikan bahawa jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin bersifat strategik, bermotif politik atau gangguan terhadap pentadbiran institusi.

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi terhadap lapan persoalan rujukan perlembagaan pada 4 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya kekal komited sepenuhnya kepada keluhuran undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah pemerintahan demokratik,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Abul Jais Ashfaq Ahmed melihat tidak berlaku sebarang perlanggaran tatakelola oleh Perdana Menteri kerana ia merupakan haknya sebagai individu untuk merujuk sebarang persoalan undang-undang ke mahkamah bagi diputuskan oleh hakim secara bebas.

“Adalah wajar bagi beliau (Anwar) mempertahankan haknya di mahkamah dengan merujuk lapan persoalan berkenaan termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan bagi diteliti mahkamah tanpa mengikat kedudukannya sebagai Perdana Menteri sekarang.

Abul Jais melihat sebarang tindakan yang dilakukan Perdana Menteri harus dilihat sebagai penghormatan terhadap institusi kehakiman negara dan tidak memihak kepada mana-mana individu biarpun memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan yang berkuasa.

“Seperti yang dijamin oleh Perlembagaan, tindakan beliau hanyalah memohon mahkamah meneliti adakah sebarang tindakan sivil ke atasnya berpotensi untuk menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan.

“Oleh itu, sebarang tindakan yang dilakukan Perdana Menteri harus dilihat sebagai penghormatan terhadap institusi kehakiman negara dan tidak memihak kepada mana-mana individu biarpun memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan yang berkuasa,” katanya.

Tetapi yang paling penting, mana-mana pihak yang membawa kes ke mahkamah sama ada saman sivil atau jenayah, tidak wajar memanipulasi sistem undang-undang negara bagi kepentingan politik sempit tambahan pula sebelum itu, ia tidak dapat dibuktikan melalui pembuktian munasabah menerusi saman jenayah.

Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang berkata, ia khususnya melibatkan kedudukan seorang Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi ketika berdepan tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikan.

Shamsul Iskandar menjelaskan ia merupakan satu pertimbangan wajar dan sah untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, institusi kehakiman tertinggi negara yang mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir Perlembagaan secara adil dan objektif.

Menurutnya, tidak ada dalam permohonan tersebut sebarang cubaan untuk mendapatkan kekebalan mutlak dan tidak wajar beliau dijadikan sasaran tindakan perundangan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.

“Sebaliknya, persoalan yang dibawa ialah sama ada tindakan sivil seperti ini boleh mengganggu kecekapan seorang Perdana Menteri dalam melaksanakan fungsi eksekutif negara.

“Ini adalah satu pertimbangan wajar dan sah untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, institusi kehakiman tertinggi negara yang mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir Perlembagaan secara adil dan objektif.

“Adalah tidak bertanggungjawab untuk menyamakan permohonan perundangan ini dengan ‘autoritarianisme’. Malah, di negara-negara yang menjunjung demokrasi, soal ‘qualified immunity’ sering dibincangkan untuk mengimbangi antara keperluan pentadbiran negara dan hak individu,” katanya.

Tambahan pula, Anwar tetap menegaskan permohonan itu jauh sekali berkaitan dengan usaha untuk mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang.

Pada 21 Disember tahun lalu, Anwar sekali lagi mengulangi komitmennya untuk menjamin kebebasan badan kehakiman negara di samping melaksanakan reformasi tadbir urus, dan menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak campur tangan dalam hal berkaitan badan kehakiman sepanjang dua tahun memegang jawatan perdana menteri.

Beliau turut menekankan pendirian tidak bertolak ansur terhadap penyalahgunaan kuasa dalam Kabinet Kerajaan MADANI dan perkhidmatan awam, dengan menyatakan bahawa salah laku tidak akan dibenarkan di bawah kepimpinannya.

Ia sudah jelas menunjukkan bahawa keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang amat dititik beratkan beliau yang memperjuangkannya sejak sekian lama.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *