Kenaikan Ringgit Catat Rekod Tujuh Hari Berturut-Turut

Pedagang dan pelabur kekal optimis terhadap prospek ringgit, disokong oleh jangkaan pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2025 yang akan diumumkan 14 November ini.
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Ringgit ditutup sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, meneruskan aliran meningkat untuk tujuh hari dagangan berturut-turut apabila sentimen pelabur kekal positif menjelang undian pembukaan semula kerajaan AS.
Pada jam 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.1315/1385 berbanding dolar AS daripada paras penutupan 4.1360/1395 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Dewan Perwakilan AS dijangka mengundi malam ini mengenai pembukaan semula kerajaan negara itu.

“Jika diluluskan, rang undang-undang itu akan ditandatangani oleh Presiden AS dan membolehkan semula perkhidmatan kerajaan diteruskan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pedagang dan pelabur kekal optimis terhadap prospek ringgit, disokong oleh jangkaan pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2025 yang akan diumumkan Jumaat ini.
“Data KDNK dijangka meningkat sekitar 5.2 peratus bagi suku ketiga 2025 dan ini menunjukkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan kekal pada 2.75 peratus dalam tempoh terdekat.

“Perkembangan ini positif untuk ringgit dan dijangka terus menyokong prestasi mata wang tempatan,” katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit turut mencatatkan prestasi lebih baik berbanding beberapa mata wang utama lain. Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.6681/6728 daripada 2.6798/6822 semalam, naik berbanding euro kepada 4.7801/7882 daripada 4.7829/7869 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4189/4281 daripada 5.4297/4343 sebelum ini.
Ringgit juga meningkat berbanding mata wang ASEAN, termasuk dolar Singapura kepada 3.1683/1742 daripada 3.1752/1784, rupiah Indonesia kepada 247.1/247.7 daripada 247.7/248.0, peso Filipina kepada 6.98/6.99 daripada 7.01/7.02 serta baht Thailand kepada 12.7068/7346 daripada 12.7595/7762 sebelumnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
