Kemenangan Zohran Mamdani Cetus Kebangkitan Majoriti Rakyat AS

Zohran Mamdani bukan sahaja muncul sebagai Datuk Bandar New York pertama dari kalangan Islam tetapi mencetus kebangkitan luar biasa rakyat di Amerika Syarikat pada 4 November 2025.
NEW YORK, 5 Nov – Kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York menandakan kemuncak kebangkitan luar biasa oleh ahli politik berhaluan kiri yang sebelum ini kurang dikenali.
Ia bukan sekadar kemenangan bagi kotaraya terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu malah menjadikan simbol kebangkitan rakyat negara itu yang semakin menolak dominasi pro-Yahudi di hampir semua bandar-bandar utama termasuk Los Angeles dan Chicago.
Mamdani muncul daripada dunia politik tempatan tanpa nama besar namun berjaya memimpin kempen berprofil tinggi untuk merebut jawatan tertinggi di bandar mega AS.
Sejak memenangi pemilihan calon Parti Demokrat Jun lalu, warga New York sudah terbiasa melihat wajahnya di kaca televisyen dan beliau adalah orang islam pertama menjawat jawatan itu.

Beliau mengalahkan calon bebas, bekas Gabenor Andrew Cuomo yang mendapat sokongan terbuka Presiden AS, Donald Trump, dan calon Rupeblikan, Curtis Sliwa.
Ahli politik berusia 34 tahun itu dilahirkan di Uganda dalam keluarga berketurunan India dan menetap di AS sejak berusia tujuh tahun, sebelum menjadi warganegara pada 2018.
Beliau adalah anak kepada pengarah filem terkenal Mira Nair (“Monsoon Wedding,” “Mississippi Masala”) dan Mahmood Mamdani, seorang profesor serta pakar Afrika yang dihormati, menjadikan sesetengah pengkritiknya melabel beliau sebagai “nepo baby” atau anak yang berjaya kerana pengaruh keluarga.
Seperti remaja daripada keluarga liberal elit, beliau mendapat pendidikan di Bronx High School of Science yang berprestij sebelum melanjutkan pelajaran ke Bowdoin College di Maine, sebuah universiti yang dianggap kubu pemikiran progresif.
Pada 2015, menggunakan nama pentas “Young Cardamom,” beliau mencuba nasib dalam dunia rap, dipengaruhi kumpulan hip-hop “Das Racist” yang dianggotai dua artis berketurunan India.
Namun, kerjaya muziknya tidak bertahan lama, dan beliau kemudian berseloroh dirinya hanyalah “artis kelas kedua”.
Minatnya terhadap politik bermula apabila beliau mengetahui bahawa rapper Himanshu Suri (Heems) menyokong seorang calon majlis bandar raya dan Mamdani menyertai kempen berkenaan sebagai aktivis.
Mamdani kemudian bekerja sebagai kaunselor pencegahan penyitaan rumah, membantu pemilik rumah yang berdepan masalah kewangan supaya tidak kehilangan kediaman mereka.
Beliau dipilih sebagai wakil rakyat dari Queens pada 2018, kawasan yang terkenal sebagai komuniti pelbagai etnik dan penduduk berpendapatan rendah, mewakili daerah itu dalam Perhimpunan Negeri New York.
Antara perjuangan beliau adalah untuk menjadikan New York lebih mampu didiami bagi golongan bukan berada iaitu majoriti daripada kira-kira 8.5 juta penduduknya, sebagai teras kempen pilihan raya.
Janji lain termasuk kawalan sewa lebih ketat, penjagaan kanak-kanak dan perkhidmatan bas percuma, serta pasar raya komuniti yang diuruskan bandar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



