Kembara Kenali Borneo Bermula, Agong Pandu Sendiri Menuju Lahad Datu, Sandakan

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong memulakan Kembara Kenali Borneo di Tawau, Sabah dan kini sedang menuju Lahad Datu dan Sandakan. Foto Facebook Tawau Kini

TAWAU, 4 Sep – Hari ini suasana di bandar Tawau di timur Sabah amat berbeza daripada kebiasaan.

Masakan tidak, buat julung kali, masyarakat setempat menyaksikan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0 KM Padang Perbandaran Tawau, di sini.

Al-Sultan Abdullah, yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda, mengetuai konvoi kembara 25 kenderaan dengan acara pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 8.30 pagi.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong memulakan Kembara Kenali Borneo di Tawau, Sabah dan kini sedang menuju Lahad Datu dan Sandakan. Foto Facebook Tawau Kini

Turut berangkat mengikuti program kembara sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Bagaikan pesta, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan menarik minat masyarakat setempat keluar beramai-ramai menunggu dan ingin melihat lebih dekat serta merakamkan detik bersejarah bersama pasangan diraja dan rombongan.

Hujan yang turun tidak menghalang masyarakat setempat berkumpul dan berada di sepanjang jalan raya yang menjadi laluan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan Kembara Kenali Borneo sejak awal pagi.

Konvoi kembara ini sedang menuju Lahad Datu dan Sandakan dengan pelbagai aktiviti setempat yang telah diatur menyambut ketibaan pasangan diraja itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *