Kelantangan Isu Palestin Tak Halang Minat Pelabur Datang Ke Malaysia – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah-mesra bersama orang ramai ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2024 Bersama Perdana Menteri di Kolej Polytech MARA, Meru hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
IPOH, 25 Mac – Kelantangan Malaysia atas pendirian tegas membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza yang tertindas oleh kekejaman rejim Zionis tidak langsung menghalang minat pelabur luar untuk terus menjadikan negara ini sebagai hab, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kegiatan beberapa pelabur atau syarikat antaranya dari Australia, China, Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman yang menumpu serta memusatkan kegiatan mereka di negara ini tidak menghalang dalam Malaysia menyuarakan pandangan secara bebas, termasuk dalam isu Palestin.
“Sebaliknya, faktor prasarana, politik yang stabil, dasar-dasar khususnya membabitkan ekonomi yang jelas mengenai kemampanan adalah antara sebab suara lantang Malaysia tidak menghalang minat pelabur berkenaan daripada menjadikan Malaysia, khususnya dalam pembuatan mikrocip di rantau ini.
“Syukur kerana dalam beberapa pertemuan saya di luar negara seperti ke Australia dan paling akhir di Jerman nampak ada kesepakatan untuk jadikan Malaysia sebagai hab penghasilan mikrocip di rantau ini. Syarikat-syarikat besar Jerman termasuk Infineon akan melabur sebanyak lima bilion Euro sudah diputus dan mula digerakkan.

“Banyak kegiatan ini termasuk melalui penubuhan ‘centre of excellence’ (pusat kecemerlangan) menumpukan, memusatkan kegiatan mereka di Malaysia, di mana ini suatu yang sangat membanggakan kita dan ia tidak menghalang kita dalam menyuarakan pandangan kita secara bebas.
“Sama ada hubungan baik kita dengan China ataupun pendirian tegas kita untuk membela nasib rakyat yang tertindas dizalimi dan dijajah iaitu rakyat Palestin, khususnya di Gaza sekarang, suara lantang kita tidak langsung menghalang minat syarikat Amerika Syarikat, Jerman dan lain-lain untuk terus menjadikan Malaysia sebagai hab,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa Madani 2024 di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh, Meru, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar optimis Perak akan muncul sebagai negeri maju yang utama di kawasan pantai barat Semenanjung dalam beberapa tahun mendatang hasil daripada tiga projek raksasa yang sedang diusahakan di negeri ini iaitu Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim; Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Kerian Integrated Green Industrial Park.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
