Kedudukan Ringgit Pada Tahap Terkuat Dalam Tempoh 14 Tahun – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Himpunan Pidato Rakyat KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU, 4 Ogos – Mata wang ringgit pada masa ini dilihat berada pada tahap terkuat dalam tempoh 14 tahun kerana dasar Kerajaan Perpaduan dan muafakat membangunkan negara secara bersama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Perdana Menteri berkata, mata wang itu yang sering dipertikaikan pembangkang kononnya sedang merudum, sebenarnya telah memperlihatkan aspek pemulihan positif di bawah pentadbiran kerajaan pada masa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan pidato pada Konvensyen KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Ringgit juga paling kuat dalam Asia, kerana apa? Bukan kerana saya, bukan kerana Anwar, ini kerana dasar kerajaan, kerana muafakat kita. Pelaburan datang, kalau tengok rekod puluhan tahun, orang yang pernah dalam kerajaan Persekutuan tahu belum pernah sambutan (pelabur) sebegitu rupa.

“Bukan kerana Anwar. Tetapi kerana Anwar mewakili negara Malaysia yang kini bangun sebagai negara hebat di rantau ini,” katanya berucap pada Konvensyen KEADILAN Sabah di sini hari ini.

Kira-kira 15,000 orang hadir mendengar pidato Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar berkata ketika mewakili Malaysia ke luar negara, beliau sentiasa mempromosi negeri-negeri termasuk Sabah, supaya negeri tersebut dijadikan destinasi pelaburan terutama dalam sektor pelancongan.

“Tiap tempat saya pergi, ke China, Jepun, Jerman saya tidak pernah tinggal mana-mana negeri. Saya sebut ada ruang pelaburan minyak dan gas, pelancongan, teknologi baru, peralihan tenaga termasuk negeri Sabah. Saya wakil Malaysia dan wakil negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, rakyat Sabah perlu menilai sebaiknya pemimpin yang melaungkan sentimen ‘Sabah untuk Sabah’ dan menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak tertipu dengan pemimpin yang melaungkan sentimen itu, hanya untuk kepentingan diri mereka semata-mata.

“Kita kerja sama-sama panggil semua bincang masalah rakyat, kemiskinan tegar, bekalan air, elektrik, banjir, jalan lubang sana sini dan pelbagai lagi kita selesaikan bersama. Kalau (pemimpin) kata Sabah untuk Sabah, tanya adakah Sabah untuk tauke balak dan projek, atau Sabah ini untuk rakyatnya,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *