Kedudukan PM Anwar Tak Terjejas Sekiranya 9 MP Keluar Parti

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya pada 9 Julai 2025. Foto Facebook Dr Na’im Mokhtar

KUALA TERENGGANU, 13 Jul – Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap stabil walaupun sembilan ahli parlimen KEADILAN mengumumkan keluar parti atau menjadi ahli parlimen bebas.

Menjelaskan perkara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) perlu memenangi kerusi parlimen melebihi dua pertiga atau sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Katanya, kerajaan PH diterajui Anwar yang juga Menteri Kewangan kini mempunyai 153 kerusi parlimen.

“Jika sembilan atau 11 ahli parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi ahli parlimen bebas, kerajaan PH tetap utuh dan jawatan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak terjejas.

“Tetapi kita yakin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dan sembilan ahli parlimen PKR tidak akan keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas,” katanya ketika ditemui pada program Santai Komuniti Madani, di Kampung Batu Rakit, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan cabang-cabang di Johor dan Kedah mendesak pimpinan KEADILAN menggantung sembilan ahli parlimen yang mendesak penubuhan suruhanjaya diraja (RCI) kononnya berlaku campurtangan dalam pelantikan hakim.

“Kami menyifatkan pendekatan semua Ahli Parlimen terbabit melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota kEADILAN merujuk Perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan Parti khususnya berkaitan tanggungjawab menjaga nama baik parti, mematuhi keputusan parti dan mengelak daripada sabotaj dalaman.

“Kami menyokong penuh desakan akar umbi KEADILAN supaya keahlian sembilan Ahli Parlimen berkenaan digantung serta-merta serta mendesak Jawatankuasa Disiplin Parti memulakan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa bertangguh,” kata kenyataan 11 ketua cabang di Kedah semalam.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *