Kedudukan Kewangan Negara Dijangka Mengukuh Tahun Ini – Penganalisis

Kementerian Kewangan menganggarkan sejumlah RM307.6 bilion cukai dapat dikutip tahun ini. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Kedudukan kewangan kerajaan dijangka bertambah kukuh tahun ini dengan jangkaan penjimatan perbelanjaan tahunan sebanyak 0.8 peratus kepada RM393.8 bilion pada tahun hadapan berbanding RM397.1 bilion tahun ini.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank Bhd, Jeremy Goh berkata, ini terutamanya disebabkan oleh komitmen kewangan lebih rendah berikutan ketiadaan pembayaran balik bon 1MDB.
Berikutan itu katanya, pihaknya berpendapat sasaran defisit fiskal sebanyak -4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 boleh dicapai dengan andaian bahawa ekonomi meningkat, di samping ketiadaan pembayaran balik bon 1MDB.
Walau begitu, beliau menambah, tanpa mengambil kira pembayaran balik bon itu, sebenarnya jumlah peruntukan bagi perbelanjaan meningkat pada 2024 selaras dengan usaha kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Dalam pada itu, kerajaan juga katanya turut menjangkakan pertambahan dalam jumlah hasil sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM307.6 bilion susulan kutipan cukai yang lebih tinggi seiring pertumbuhan KDNK yang berterusan.

“Langkah belanjawan juga dijangka menyediakan tambahan pendapatan RM4.6 bilion (0.2 peratus daripada KDNK) kepada jumlah hasil.
“Pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang akan berlaku pada 2024 juga akan memberikan penjimatan selanjutnya.
“Kerajaan kini bersedia untuk memulakan semula pembaharuan fiskalnya termasuk pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal, pelaksanaan rasionalisasi subsidi secara berperingkat pada 2024, pengukuhan rangka kerja cukai dan penggubalan Akta Perolehan Kerajaan pada 2024,” katanya dalam satu nota penyelidikan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Goh berkata, jumlah hasil turut dianggarkan meningkat sebanyak +1.5 peratus kepada RM307.6 bilion pada 2024 terutamanya didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi.
Beliau berkata, ia berdasarkan kepada langkah-langkah yang diperkenalkan untuk meluaskan asas cukai dan meningkatkan hasil bukan petroleum termasuk menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8.0 peratus daripada enam peratus.
Skop SST juga katanya akan diperluaskan untuk merangkumi perkhidmatan seperti logistik, pembrokeran, dan karaoke serta langkah pertambahan cukai lain termasuk cukai keuntungan modal dan cukai barangan mewah.
Cukai langsung kerajaan juga akan meningkat kepada RM185.0 bilion berbanding RM173.0 bilion ke atas cukai korporat yang lebih tinggi, dalam keadaan pendapatan dan pematuhan cukai korporat yang lebih baik serta cukai pendapatan individu, seiring dengan kadar pengangguran dan pertumbuhan gaji yang lebih baik.
Cukai tidak langsung juga katanya dijangka meningkat terutamanya daripada kutipan SST seiring dengan kadar yang lebih tinggi, pertumbuhan penggunaan berterusan dan keyakinan sentimen pengguna dan perniagaan.
“Kutipan duti eksais yang lebih tinggi juga dijangka berikutan langkah-langkah yang diperkenalkan seperti duti eksais ke atas produk tembakau, serta kadar cukai yang lebih tinggi ke atas minuman manis bergula.
“Bagaimanapun, hasil bukan cukai dianggarkan menurun kepada RM64.0 bilion berikutan pengurangan dividen daripada PETRONAS dan KWAP,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
