Keberanian Aktivis Malaysia Sertai GSF Lawan Israel Dipuji – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di Kuala Lumpur pada 29 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 29 Sep – Penyertaan rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) antarabangsa yang kini mula menghampiri zon kritikal, mencerminkan komitmen terhadap keadilan yang merentasi sempadan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keberanian ditunjukkan aktivis antarabangsa dan Malaysia dalam misi itu menandakan pendirian kuat global dalam menentang penindasan terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Malah, beliau berkata keselamatan sosial global dan keamanan dunia tidak akan dicapai sekiranya isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, yang jelas sudah melanggar undang-undang antarabangsa serta melanggar prinsip kemanusiaan ini dibiar berterusan.
“Kita tahu, pemindahan besar-besaran keluarga di Gaza yang sedang berlaku kini bukanlah akibat perubahan iklim, tetapi akibat tindakan sebuah negara Zionis yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan berterusan melanggar prinsip kemanusiaan.

“Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin ini wajar dikecam tanpa kompromi.
“Ia bukan sekadar kenyataan politik, tetapi pendedahan pelanggaran hak asasi manusia yang serius, menjejaskan keselamatan sosial global serta hak asasi manusia untuk hidup dalam keadaan selamat, bermaruah dan mendapat akses kepada perkhidmatan asas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Presiden Kesatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Anwar menegaskan, sesebuah negara yang memperjuangkan keselamatan sosial tidak bermakna sekiranya hanya berdiam diri dalam melihat kekejaman berterusan rejim itu.

“Kini, kutukan konsisten kami terhadap pendudukan zionis dan penjajahan peneroka Palestin adalah bukti komitmen kami terhadap keadilan. Ia merentasi sempadan negara. Kebanyakan negara dan peserta di sini (forum) pernah mengalami penjajahan, penghinaan dan eksploitasi serta dehumanisasi yang kejam di bawah pemerintahan asing.
“Jadi, ia tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang kabur dan sukar untuk difahami. Oleh itu, wacana yang berkesan mengenai keselamatan sosial dunia mestilah mengiktiraf dan menyepadukan realiti ini,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
