KEB2024 Jadi Pencetus Anjakan Kerangka Ekonomi MADANI – Andre Lai

Andre Lai optimis penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) akan mencetus anjakan Kerangka Ekonomi MADANI yang diluncurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Julai tahun lalu. Foto Andre Lai

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) dilihat mampu membantu bukan sekadar ekonomi kaum berkenaan malah ia juga memberi naratif positif terhadap usaha Kerajaan Perpaduan menerusi Kerangka Ekonomi MADANI.

Ketika diminta mengulas hala tuju kongres berkenaan, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai yakin usaha dan pembaharuan diterapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memulihkan kembali peranan Bumiputera dari segi ekonomi terutama pasca pandemik Covid-19.

“Saya berpendapat inisiatif kerajaan MADANI menganjurkan KEB2024 dengan penglibatan menyeluruh kementerian serta agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) mampu memulihkan kembali penguasaan ekonomi Bumiputera lantas memacu pertumbuhan ekonomi domestik dalam beberapa tahun lagi.

“Ini ditambah lagi dengan komitmen Perdana Menteri sendiri turun melihat pameran yang disediakan khusus buat penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) mempromosikan pelbagai produk bagi menjana ekonomi negara,” katanya.

Andre Lai optimis penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) akan mencetus anjakan Kerangka Ekonomi MADANI yang diluncurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Julai tahun lalu. Foto Andre Lai

Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju turut optimis bahawa KEB2024 bukan sahaja menambah keupayaan ekonomi Bumiputera malah ekonomi bukan Bumiputera akan mendapat limpahan secara tidak langsung asalkan tata kelola dan urus tadbir dijalankan dengan betul.

Ini katanya memandangkan penyertaan ekuiti Bumiputera boleh ditingkatkan lagi menerusi pelbagai program keusahawanan dan peningkatan kecekapan pemain industri mendapatkan peluang yang disediakan kerajaan serta agensi berkaitan.

“Saya berharap dengan keyakinan Datuk Seri Anwar terhadap penganjuran KEB2024 yang disertai ratusan pempamer seluruh negara akan membawa sinar baharu tanpa meminggirkan dasar-dasar ekonomi yang digariskan kerajaan seperti yang ditegaskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI yang diluncurkan pada 27 Julai tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa melawat reruai jualan dan pameran pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto Bernama

“Kemampuan kerajaan menerusi kerangka itu pastinya akan menjadi pencetus kepada galakan Bumiputera menceburi sektor terkini seperti tenaga baharu, kecerdasan buatan (AI) dan memperkasa sektor TVET bagi kemajuan ekonomi negara,” tambahnya.

KEB2024 diluncurkan pagi Khamis oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan berlangsung selama tiga hari sementara majlis penutupan secara rasmi akan disempurnakan Anwar esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *